BERNAMA

Kuala Lumpur: Subsidi bersasar penggunaan elektrik bagi golongan T20 berasaskan pendapatan akan diumumkan selepas sistem Pangkalan Data Utama (Padu) dijangka siap hujung tahun ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ketika ini, subsidi diberikan berdasarkan kategori jumlah unit elektrik (kWj) pengguna dan bukannya berasaskan pendapatan.

Sehubungan itu, katanya, apabila sistem Padu siap sepenuhnya, subsidi bersasar kepada pengguna T20 berasaskan pendapatan mereka dapat dilaksanakan.

"Kalau T20 kita anggap rumah mereka ada lima, enam penyaman udara, ada pengering serta banyak kelengkapan lain dan bil elektrik mereka cecah RM500 hingga RM700 atau lebih.

"Tidak patutlah mereka dapat subsidi yang lebih berbanding golongan lain, kerana ia (subsidi) berdasarkan penggunaan, jadi mereka (T20) yang nikmati lebih banyak subsidi ringgit berbanding pengguna M40 dan B40, secara prinsipnya ini tidak adil," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat, hari ini.

Nik Nazmi juga bersetuju, penggunaan tenaga solar wajar digalakkan kepada golongan T20.

Bagaimanapun, harga tenaga boleh diperbaharui itu mestilah pada harga pasaran yang sesuai dan boleh bersaing dengan tenaga elektrik konvensional.

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta penjelasan berhubung pemansuhan subsidi elektrik bagi T20 serta sama ada kerajaan akan menggalakkan golongan itu menggunakan tenaga solar sebagai sumber alternatif elektrik.

Menjawab soalan asal Khoo berhubung jumlah perbelanjaan subsidi yang dijimatkan ekoran pelarasan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) pada Januari 2023, Nik Nazmi berkata, penjimatan subsidi adalah sebanyak RM5.4 bilion bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun dan kos itu sudah dilepaskan kepada pengguna secara bersasar.

"Kos ICPT bagi tempoh Julai hingga Disember 2022 sebanyak RM16.16 bilion, bersamaan kadar surcaj 27 sen/kWj yang sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna bagi tempoh Januari hingga Jun 2023.

"Bagaimanapun, kerajaan bersetuju mengekalkan rebat 2 sen/kWj kepada pengguna domestik dan surcaj 3.70 sen/kWj pengguna bukan domestik dalam kategori voltan rendah (tarif B dan D) serta kategori pertanian spesifik (tarif H, H1, dan H2) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023.

"Pengguna bukan domestik yang lain dikenakan surcaj pada kadar 20 sen/kWj bagi tempoh yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 2:23 PM