Seramai 29 wanita warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas pertuduhan tinggal di negara ini tanpa pas sah dan tinggal lebih masa. Foto Ahmad Hasbi
Seramai 29 wanita warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas pertuduhan tinggal di negara ini tanpa pas sah dan tinggal lebih masa. Foto Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi

Seremban: Seramai 29 wanita warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan tinggal lebih masa di negara ini.

Kesemua tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Majistret Yusna Khadijah Md Yusop dan Nurul Saqinah Roslin selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di dua kamar berbeza.

Mengikut pertuduhan, lapan tertuduh didakwa berada di Malaysia lebih dari masa yang ditetapkan mengikut Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/1963 Pindaan 2002.

Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, 21 daripada mereka didakwa berada di negara ini tanpa pas yang sah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 Pindaan 2002 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan enam sebatan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Seremban di sini, pada 5.15 petang 13 Jun lalu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 11 tertuduh tidak ditawarkan jaminan, manakala 10 lagi dibenarkan jamin sebanyak RM10,000, empat dijamin sebanyak RM8,000 dan empat lagi dibenarkan jamin RM4,000.

Tertuduh yang dijamin ditetapkan syarat perlu mengemukakan dua penjamin warga tempatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Terdahulu, peguam Siti Summaiyah Ahmad Jaafar yang mewakili kesemua tertuduh merayu supaya anak guamnya dikenakan jaminan yang rendah.

Siti Summaiyah mengemukakan alasan bahawa tertuduh mempunyai visa rawatan perubatan dan pas pelancong, malah ketika ditahan pasport mereka masih belum tamat tempoh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman dan Nik Nur 'Aqilah Syarfa Nik Zaidi.

Kes akan disebut semula 25 Julai depan untuk serahan dokumen.

i

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 4:53 PM