Datuk Seri Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menggantung sementara perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya, akan didengar Mahkamah Rayuan, esok.

Ia bagi membolehkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Najib supaya Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes 1MDB, didengar dan diputuskan Mahkamah Rayuan.

Bekas perdana menteri itu memohon Sequerah menarik diri dengan alasan berlakunya konflik kepentingan susulan pendedahan hakim itu dan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan pernah menjadi rakan kongsi di firma Zain & Co ketika menjadi peguam, 10 hingga 15 tahun lalu

Perkara itu disahkan salah seorang peguam Najib, Alaistair Brandah Norman yang memaklumkan permohonan untuk menggantung prosiding 1MDB difailkan pihaknya, semalam.

Dalam keputusannya menolak permohonan Najib supaya beliau menarik diri pada 18 Ogos lalu, Sequerah turut menolak permohonan peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menggantung prosiding perbicaraan 1MDB.

Hakim itu menolak permohonan terbabit (supaya beliau menarik diri) selepas mendapati tiada sebarang konflik kepentingan yang akan timbul dan kemungkinan beliau akan bertindak berat sebelah terhadap Najib jika terus mendengar perbicaraan kes berkenaan.

Beliau yang kini hakim Mahkamah Rayuan dan bertindak selaku Hakim Mahkamah Tinggi berkata, tidak pernah berkomunikasi dengan Jasmine sama ada secara profesional atau peribadi sejak wanita itu meninggalkan firma guaman terbabit pada 31 Disember 2008.

Menurut Sequerah, beliau juga tidak bertemu dengan Jasmine sejak itu, iaitu kira-kira 15 tahun lalu.

Perbicaraan kes 1MDB yang bersambung pada 28 Ogos ini akan mendengar keterangan bekas Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz pada peringkat soal balas oleh Muhammad Shafee.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 6:34 PM