Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menafikan dirinya antara 10 'warlord' atau pemimpin utama UMNO yang digembar-gemburkan akan menyertai Perikatan Nasional (PN) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Ia tiada kena-mengena dengan saya. Saya tak tahu-menahu, Lillahi Taala, saya bukan salah seorang dari 10 itu," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Pada 12 Jun lalu, media melaporkan Perikatan Nasional (PN) akan membuat pengumuman mengenai kemasukan kira-kira 10 'warlord' daripada UMNO ke gabungan itu.

Ditanya mengenai sama ada beliau masih mengharapkan rayuannya berhubung penggantungan keahliannya diterima selepas tiga kali mengemukakan rayuan, Tajuddin berkata, itu sudah semestinya.

Tajuddin berkata, rayuan juga pernah dicubanya bersama isteri yang berjumpa dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

TAJUDDIN (duduk, tiga kanan) pada sidang media. FOTO L Manimaran
TAJUDDIN (duduk, tiga kanan) pada sidang media. FOTO L Manimaran

"Isteri saya pun jumpa Presiden, bukan kerana nakkan sangat keahlian itu semula tetapi saya rasakan kenapalah benda ini (penggantungan) boleh berlaku bergitu sekali. Sampai di situ saya ikhtiar.

"Saya tak tahu Presiden ikut cakap siapa. Saya harap Presidem berfikirlah secara tenang, imbas kembali segala apa yang disampaikan kepadanya... Apa kejahatan, kesalahan besar saya yang menyebabkan payah sangat untuk penggantungan keahlian saya hendak dilepaskan.

"Sudah 50 tahun saya dalam UMNO. Banyak jasa UMNO pada saya dan juga sebaliknya, jasa saya kepada UMNO. Rugi banyaklah kalau saya hendak tinggalkan UMNO sebelum perjuangan UMNO itu sendiri selesai iaitu dalam membela, mengangkat, dan memartabatkan orang Melayu," katanya.

Tajuddin adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum jawatannya digugurkan pada Jun tahun lalu sebelum MKT UMNO menggantung keahliannya selama enam tahun pada 30 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 6:40 PM