Muhamad Lokman Khairi


Pasir Salak: Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yakin rayuan terhadap penggantungan keahlian Umno bakal berpihak kepadanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa keputusan rayuan Tajuddin akan dirujuk kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Tajuddin yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Salak berkata, beliau berharap permohonannya akan diterima MKT secepat yang mungkin.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Zahid atas kenyataan semalam kerana nampaknya ada harapanlah kerana sudah tentu ia bakal dibawa kepada MKT.

"Kalau boleh biarlah cepat, saya pun tunggu lama dan saya rasa penuh yakin keputusannya positif," katanya ketika ditemui media dalam Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Gajah, dekat sini, hari ini.

Tajuddin berkata, beliau sudah menjelaskan di dalam tiga surat rayuannya bahawa beliau memohon maaf kepada Presiden Umno atas kelantangannya mengkritik Ahmad Zahid sebelum ini.

"Semalam satu lagi surat terakhir (ketiga) saya tulis rayuan permohonan ini. Saya pun tidak buat apa salah, salah saya kalau ada pun kerana bersuara lantang dalam isu yang berkepentingan parti.

"Mungkin Datuk Seri Ahmad Zahid terasa hati dengan kenyataan itu, saya sudah minta maaf, sekali lagi saya mohon maaf.

"Dalam isu ini saya memang nak selesaikan cara baik kerana saya sayangkan Umno dan parti ini banyak jasanya," katanya.

Tajuddin yang juga bekas Pengarah Jentera Pilihanraya Barisan Nasional (BN) berkata, beliau bersedia membantu berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekiranya keahlian beliau dikembalikan.

"Jika dilepaskan penggantungan itu, saya jadi ahli parti yang aktif bolehlah saya menyumbang apa yang mampu dalam PRN enam negeri nanti.

"Saya sudah hulur tangan persahabatan, yang sudah tu sudahlah. Saya harap mereka dapat menerima huluran tangan persahabatan demi parti.

"Bagaimanapun, saya bersedia untuk hadapi kemungkinan sama ada terima atau tidak terima. Saya tidak akan putus asa dengan perjuangan," katanya sambil mengakui beliau belum menerima pelawaan daripada mana-mana pihak untuk bertanding dalam PRN akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 5:33 PM