Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digugurkan daripada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Sumber dalaman Umno mengesahkan pengguguran Tajuddin dan ia sudah dimaklumkan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu surat dikeluarkan pada Selasa lalu.

"Ya (digugurkan)," katanya tanpa mempericikan lebih lanjut ketika ditanya sebab dan alasan pengguguran Tajuddin.

Bagaimanapun, katanya keputusan menggugurkan mana-mana ahli MKT atau melantik ahli MKT baru adalah dibawah kuasa presiden parti.

Tajuddin adalah Ahli MKT Umno yang dilantik oleh Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

Beliau tewas dalam merebut jawatan Naib Presiden Umno pada Pemilihan Umno 2018 lalu, sebelum dilantik ke beberapa jawatan dalam parti termasuk Pengarah Pilihan Raya Umno.

Selain Tajuddin, turut dilantik Ahmad Zahid menganggotai ahli MKT termasuk Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Datuk Rosni Sohar, Datuk Yaakub Khan serta Datuk Arman Azha Abu Hanifah.

Terdahulu, media melaporkan Ahmad Zahid menerusi surat bertarikh 21 Jun lalu yang dikeluarkqn Ahmad Maslan, menamatkan pelantikan Tajuddin sebagai ahli MKT Umno.

Ahmad Maslan bagaimanapun tidak menyatakan sebab Tajuddin dipecat dalam surat itu, selain berharap Tajuddin akan meneruskan khidmatnya sebagai ahli parti yang komited dan merakamkan ucapan tahniah atas pelantikannya sebagai duta besar.

Tajuddin sebelum ini sudah menerima watikah pelantikannya sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau turut dijadual akan ke Indonesia dalam tempoh terdekat termasuk bagi menghadiri majlis menerima lantikan duta luar negara daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 12:43 PM