Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar menyampaikan faedah kepada pencarum, R Chandran, 40, yang mendapat Faedah Hilang Upaya Kekal di kediaman lelaki itu di Taman Desa Temiang, di sini, hari ini. FOTO AHMAD HASBI.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar menyampaikan faedah kepada pencarum, R Chandran, 40, yang mendapat Faedah Hilang Upaya Kekal di kediaman lelaki itu di Taman Desa Temiang, di sini, hari ini. FOTO AHMAD HASBI.
Oleh Ahmad Hasbi


Seremban: Sebanyak RM254,617 faedah sudah dibayar kepada suri rumah sejak Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diperkenalkan pada Disember 2022.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata, sehingga kini hanya seramai 177,858 suri rumah dilindungi menerusi SKSSR dan pihaknya menyasarkan 500,000 pencarum bagi tahun ini.

"Skim ini cukup baik tetapi kurang dapat sambutan sebab kurang kesedaran. Jadi saya minta supaya semua suri rumah untuk ambil perhatian mengenai perkara ini, seboleh-bolehnya suami membantu isteri untuk mencarum.

"Badan bukan kerajaan, pemimpin tempatan, syarikat swasta atau sesiapa sahaja ingin membuat program tanggungjawab sosial korporat (CSR), inilah tempatnya (SKSSR).

"Carum untuk suri rumah yang boleh dapat faedah jika belaku apa-apa kepada mereka walaupun mereka tidak kerja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sejurus menyampaikan faedah kepada pencarum R Chandran, 40, yang mendapat Faedah Hilang Upaya Kekal di kediaman lelaki itu di Taman Desa Temiang, di sini, hari ini.

Chandran yang kini bekerja sebagai penghantar makanan mengalami kemalangan pada 2012 ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Mengulas lanjut mengenai SKSSR, Sivakumar berkata, ibu tunggal atau wanita yang belum berkahwin juga layak untuk mencarum menerusi SKSSR.

"Sesiapa sahaja yang berusia 15 tahun ke atas dan 55 tahun ke bawah layak mencarum. Caruman minimum sebanyak RM10 sebulan atau RM120 setahun dengan manfaat yang sangat besar," katanya.

Sementara itu, Chandran berkata, dia bersyukur kerana berdasarkan keadaannya kini, kes kemalangannya dirujuk kepada jemaah doktor bagi menentukan Faedah Hilang Upaya Kekal dan berdasarkan taksiran, dia menerima bayaran faedah sebanyak RM14,291.

"Sebelum ini saya bekerja di sebuah syarikat di Bahau sebelum terbabit kemalangan pada 2012.

"Ketika itu saya sudah dapat Faedah Hilang Upaya Sementara sebanyak RM2,045. Namun keadaan lutut bertambah teruk selepas itu.

"Pada 2021, saya kehilangan kerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bekerja sebagai penghantar makanan bagi menanggung isteri, anak perempuan berusia 10 tahun dan ibu warga emas.

"Terima kasih kepada Perkeso kerana banyak membantu dan manfaat dari caruman ini membantu meringankan beban saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 12:34 PM