NOORUL Ariffin (kiri) menyerahkan baju T yang mempunyai cetakan aksi bekas atlet serta jurulatih bola keranjang, Cheong Phor. FOTO SITI ROHANA IDRIS
NOORUL Ariffin (kiri) menyerahkan baju T yang mempunyai cetakan aksi bekas atlet serta jurulatih bola keranjang, Cheong Phor. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) sudah membelanjakan lebih RM500,000 bantuan kepada bekas atlet di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, berkata, bantuan itu diberikan membabitkan 12 skim antaranya bantuan rawatan untuk sakit kronik, peralatan, khairat kematian dan rawatan pesakit luar.

"Secara keseluruhan kita sudah membelanjakan lebih RM500,000 setakat empat bulan pertama tahun ini kepada 150 bekas atlet.

"Ada 12 skim yang ditawarkan termasuk rawatan sakit kronik yang ada daripada mereka ditanggung sehingga RM20,000.

"Bukan sahaja rawatan kesihatan, kita juga turun padang menziarah bekas atlet yang dilanda musibah termasuk menjadi mangsa banjir dengan tampil menghulurkan bantuan kewangan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Noorul Ariffin berkata, secara keseluruhan bekas atlet yang berdaftar di bawah Yakeb setakat ini adalah seramai 3,079 termasuk atlit paralimpik.

Menurutnya lagi, banyak manfaat yang diterima dan menjadi kerugian jika bekas atlet tidak membabitkan diri sebagai ahli Yakeb yang mana sumbangan yang diterima bukan sahaja bersifat one off tapi juga berterusan.

"Kita sasarkan menjelang hujung tahun ini, seramai 4,000 ahli berdaftar di bawah Yakeb dan kita sedang mengesan bekas atlet yang masih tidak berdaftar kerana banyak manfaat yang boleh mereka nikmati," katanya.

Terdahulu beliau hadir di Shalis Care Centre di Telipot, di sini, menziarah bekas atlet bola keranjang kebangsaan, Wee Cheong Phor, 82, yang menghidap sakit tulang belakang sejak 10 tahun lalu.

Cheong Phor yang juga bekas jurulatih sukan itu meluahkan rasa gembira apabila menerima kunjungan Noorul Ariffin selain diraikan bekas anak muridnya dari Sekolah Kebangsaan (SK) Islah dalam sebuah majlis ringkas.

Beliau yang hampir 60 tahun bergiat dalam sukan bola keranjang tanah air mengakui merindui sukan itu namun akur tenaganya sebagai jurulatih terhenti selepas ditimpa sakit tulang belakang.

"Meskipun saya sudah bersara dalam arena bola keranjang, saya masih mengambil tahu perkembangan mengenai sukan itu menerusi media sosial.

"Bagaimanapun pengalaman meraih pingat emas dalam Sukan Asia (1979) dan Sukan Sea (1985) tetap segar dalam ingatan dan saya berasa bangga kerana mampu membawa nama Malaysia ke mata dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 4:07 PM