GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kota Kinabalu: Seramai 3,529 suri rumah di seluruh negara mendaftar dan mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) antara 1 Disember hingga 27 Disember lalu.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Selangor merupakan negeri pencarum SKSSR tertinggi dengan 1,042 orang, diikuti oleh Johor (435) dan Perak (319).

"Di Sabah pula seramai 92 orang mendaftar dan mencarum dengan SKSSR daripada 38,284 orang yang layak. Kira-kira tiga juta suri rumah di negara ini layak dilindungi SKSSR.

"Kerajaan memperuntukkan RM20 juta untuk bantuan caruman SKSSR bagi suri rumah daripada kumpulan B40 yang berdaftar dengan Skim i-Suri (di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja)," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu Perkeso menggalakkan suri rumah mendaftar dan mencarum dengan SKSSR yang memberi perlindungan terhadap kemalangan, penyakit dan kematian yang berkaitan dengan pengurusan rumah tangga.

Sementara itu, Perkeso memaklumkan Program Kerjaya dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Perkeso telah diadakan di Manggatal dekat sini semalam, dirasmikan Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud dan turut dihadiri Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohamed.

"Lebih 1,500 jawatan kosong ditawarkan oleh 18 majikan yang mengambil bahagian dengan mengadakan temu duga terbuka bagi pelbagai jawatan dalam berbagai sektor seperti pembuatan, pembinaan, hartanah, penginapan, serta makanan dan minuman," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 3:20 PM