ANTARA pelajar yang menyertai Program Santai Komuniti Belia/Anak Muda Bersama Cegah HIV/AIDS baru-baru ini. FOTO Ihsan pembaca.
ANTARA pelajar yang menyertai Program Santai Komuniti Belia/Anak Muda Bersama Cegah HIV/AIDS baru-baru ini. FOTO Ihsan pembaca.
Wartawan HM


Kulim: Dedah mengenai bahaya HIV dan Aids pada usia muda. Itu inisiatif diambil Panel Penasihat, Klinik Kesihatan Mahang, Kedah yang menjalankan program pencegahan baru-baru ini.

Program Santai Komuniti Belia dan Anak Muda Bersama Cegah HIV/Aids itu menghimpunkan lebih 50 peserta terdiri daripada golongan muda di sekitar mukim berkenaan, bertujuan memberi kesedaran mengenai bahaya penyakit itu.

Pengerusinya Abd Rasid Abdul Rahaman berkata, biarpun dari segi indeks kes gejala berkenaan tidak begitu ketara di sekitar kawasan itu, penting untuk pihaknya menyuntik kesedaran awal mengenainya.

Katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, timbul kebimbangan mengenai penularan penyakit yang antaranya disebabkan pengaruh dadah itu.

"Inisiatif ini sudah pun dimulakan sebelum ini. Memandangkan konsepnya ialah memberi advokasi secara berterusan, kita sasarkan kepada pelajar sekolah serta generasi muda di sekitar Mahang.

"Alhamdulillah, reaksi diterima amat positif dan kita juga sedang mempertimbangkan untuk mengadakan siri lanjutan program pada masa akan datang," katanya.

PESERTA Program Santai Komuniti Belia/Anak Muda Bersama Cegah HIV/AIDS bergambar kenangan. FOTO Ihsan pembaca.
PESERTA Program Santai Komuniti Belia/Anak Muda Bersama Cegah HIV/AIDS bergambar kenangan. FOTO Ihsan pembaca.

Selain Klinik Kesihatan Mahang, program itu juga mendapat kerjasama Unit HIV/AIDS Pejabat Kesihatan Daerah Kulim, Komuniti Kampung Lobak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Mahang, menjadikan pihaknya antara pelopor program seumpamanya selepas Covid-19.

Abd Rasid berkata, pihaknya ingin memperbetulkan tanggapan sesetengah pihak termasuk ibu bapa yang hanya menganggap penyakit itu disebabkan aktiviti seks bebas semata-mata.

"Apa yang perlu kita tahu ialah, HIV dan Aids ini juga disebabkan pengambilan serta ketagihan dadah. Ini yang paling kita bimbang kerana ia ada di sekeliling kita.

"Untuk itu, kita perlu lebih berwaspada dan kesedaran di peringkat awal mampu mengelakkan kita daripada terjebak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 7:15 PM