Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Penyakit Virus Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (HIV) dan Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS) tidak lagi menjadi ancaman kepada negara menjelang 2030 apabila Kementerian menyasarkan penurunan kes sebanyak 90 peratus.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, melalui sasaran itu, kerajaan berusaha menurunkan 12.93 kes daripada 100,000 penduduk ketika ini kepada 1.3 kes.

Menurutnya, berdasarkan angka pada 2010, 3,000 kes baru HIV/AIDS dilaporkan setiap tahun dan kerajaan menyasarkan untuk mengurangkannya kepada 800 kes setiap tahun menjelang 2021.

“Justeru, kami memerlukan usaha gigih daripada semua pihak termasuk kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan dan golongan akademik dalam mencapai sasaran itu.

“Pada tahun ini kami akan bertindak lebih ‘agresif’ dengan meningkatkan lagi usaha pencegahan dan rawatan termasuk turun padang ke sarang penagih bagi mengesan mereka yang positif HIV/AIDS,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Country Coordinating Mechanism (CCM), semalam.

Turut berlangsung penyerahan cek RM6.59 juta kepada Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAM) Datuk Dr Raj Karim bagi membolehkan 49 NGO melaksanakan 39 aktiviti serta program pencegahan dan kawalan HIV/AIDS di seluruh negara.

Dalam pada itu, Dr Hilmi berkata, setiap tahun kerajaan memperuntukkan RM200 juta untuk melaksanakan usaha pencegahan dan rawatan bagi HIV/AIDS.

“Jika melaksanakan usaha lebih ‘agresif’, kami memerlukan tambahan peruntukan RM100 juta dan ia dijangka dapat mengurangkan jumlah HIV/AIDS 10 peratus bermula sekarang,” katanya.

Berdasarkan rekod pesakit HIV/AIDS, beliau berkata, 88,000 pesakit masih hidup mengikut statistik sejak 1980-an dan daripada jumlah itu, 21,000 pesakit menjalani rawatan antiretroviral (ARV).

“Pesakit lain tidak mahu ke depan untuk menjalani rawatan, jadi kita mahu mencari mereka melalui program turun padang untuk memberikan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, kes paling tinggi mereka dijangkiti HIV/AIDS adalah dalam kalangan penagih dadah yang berkongsi jarum.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 9:08 AM