Kota Bharu: Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan serta Terapi Gantian Metadon, yang dijalankan sejak 2006 mula menunjukkan kesan positif apabila merekodkan penurunan drastik terhadap penularan pesakit HIV/AIDS di negara ini.

Pengarah Eksekutif Majlis AIDS Malaysia (MAM) Dr Ilias Adam Yee berkata, sejak diperkenalkan sembilan tahun lalu, pihaknya mengurangkan jumlah pesakit HIV/AIDS sehingga 50 peratus.

“Pada permulaan program, kita tidak dapat sambutan, malah matlamat juga tidak tercapai.

“Bagaimanapun, selepas sembilan tahun, kami terima reaksi positif daripada pesakit AIDS, sekali gus menyumbang kepada penurunan kes HIV/AIDS yang drastik iaitu sehingga 50 peratus,” katanya dalam sidang media sempena program lawatan, ke sini, semalam.

Hadir sama, Presiden SAHABAT, Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Deputi Superintendan Roslan Yusof.

Di Malaysia, lebih 100,000 penagih dadah menghidap HIV direkodkan sehingga Disember 2014.

Mengulas lanjut, Ilias berkata, 5.1 juta jarum suntikan diagihkan kepada pesakit sejak program dilancarkan dengan jumlah tertinggi di pantai timur.

“Objektif program ini untuk mengurangkan penularan penyakit HIV/AIDS di Malaysia dan penyakit bawaan darah lain seperti Hepatitis B dan C.

“Jarum suntikan itu diedarkan di ‘port’ penagih dadah untuk kita berinteraksi dengan mereka supaya mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 8:10 AM