GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Langkah kerajaan untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Siber adalah langkah paling tepat sekali gus dapat mengurangkan ancaman jenayah siber di negara ini.

Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, RUU berkenaan dapat memberi kesan langsung dalam mendepani ancaman siber secara menyeluruh di negara ini.

"Ia juga akan memberi punca kuasa kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan siber.

"Ancaman siber ini tidak boleh dipandang ringan, jika dilihat dalam aspek statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), setiap tahun kerugian mencecah ratusan juta malah sehingga bilion ringgit.

"Ini memberi gambaran paling jelas, penggubalan RUU ini menjadi salah satu faktor untuk mengatasi masalah jenayah siber dan ia langkah tepat oleh kerajaan," katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa RUU itu akan digubal dengan segera untuk memastikan segenap aspek perundangan berkaitan dapat digunakan.

Matlamat itu juga sudah berjaya dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara awal minggu ini.

Ia turut menambah baik keberkesanan fungsi agensi itu sejajar dengan hasrat yang termaktub dalam Arahan MKN No. 26 Pengurusan Keselamatan Siber Negara dan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS).

Ahmad Noordin berkata, semua pihak harus menyokong usaha kerajaan ini kerana ia dapat mengekang sebarang bentuk ancaman siber terutama membabitkan kegiatan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 5:27 PM