TINDAKAN dijangka mampu beri kesan langsung dalam mendepani ancaman siber secara menyeluruh.
TINDAKAN dijangka mampu beri kesan langsung dalam mendepani ancaman siber secara menyeluruh.
Muhammad Saufi Hassan


ANCAMAN keselamatan siber bukan lagi isu terpencil malah saban tahun kerugian akibat daripada pelbagai kes jenayah dan penipuan di ruang siber mencecah ratusan juta serta ia memerlukan satu langkah khusus untuk mendepani masalah berkenaan.

Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih RM2 bilion kerugian dalam tempoh masa lima tahun membabitkan jenayah siber di negara ini dan ia termasuk kes penipuan dalam talian yang banyak dilaporkan.

Buku kajian jenayah siber yang diterbitkan Institut Keselamatan Awam (IPSOM) turut mendedahkan bahawa hampir 70 peratus kes jenayah komersial kini dikategorikan sebagai kes jenayah siber.

Bagi tempoh 2017 sehingga Jun 2021, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan kerugian lebih RM2 bilion membabitkan jenayah siber.

Untuk tahun 2022 pula, menunjukkan jumlah kerugian RM1.73 bilion berbanding 31,490 kes pada 2021 dengan jumlah kerugian RM2.20 bilion.

Pada sama sama, isu keutuhan data peribadi juga sering menjadi keraguan dalam kalangan pengguna supaya tidak bocor kepada pihak tidak bertanggungjawab.

Keadaan itu mendorong kepada keperluan untuk mewujudkan Suruhanjaya Keselamatan Siber yang akan berfungsi untuk melindungi data peribadi pengguna serta isu yang berkaitan dengannya.

Langkah kerajaan untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Siber adalah langkah paling tepat sekali gus dapat mengurangkan ancaman jenayah siber di negara ini.

IA akan memberi punca kuasa kepada MKN dan NACSA untuk bertindak mendepani ancaman siber.
IA akan memberi punca kuasa kepada MKN dan NACSA untuk bertindak mendepani ancaman siber.

Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, RUU berkenaan dapat memberi kesan langsung dalam mendepani ancaman siber secara menyeluruh di negara ini.

"Ia juga akan memberi punca kuasa kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengawal selia serta menguatkuasakan undang-undang berkaitan siber.

"Ancaman siber ini tidak boleh dipandang ringan, jika dilihat dalam aspek statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), setiap tahun kerugian mencecah ratusan juta malah sehingga bilion.

"Ini memberi gambaran paling jelas bahawa ia bukan satu masalah kecil tapi perlu ditangani menerusi lunas perundangan dan penggubalan RUU ini adalah langkah paling tepat oleh kerajaan," katanya.

Ahmad Noordin berkata, semua pihak harus menyokong usaha kerajaan ini kerana ia dapat mengekang sebarang bentuk ancaman siber terutama membabitkan kegiatan jenayah.

REKOD kerugian tahunan akibat penipuan serta jenayah siber mencecah lebih ratusan juta ringgit.
REKOD kerugian tahunan akibat penipuan serta jenayah siber mencecah lebih ratusan juta ringgit.

Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa RUU itu akan digubal dengan segera untuk memastikan segenap aspek perundangan berkaitan dapat dituntaskan.

Matlamat itu juga sudah berjaya dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara awal minggu ini.

Ia turut menambah baik keberkesanan fungsi agensi itu sejajar dengan hasrat yang termaktub dalam Arahan MKN No. 26 Pengurusan Keselamatan Siber Negara dan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS).

RUU Keselamatan Siber akan memberi NACSA, MKN punca kuasa undang-undang yang jelas untuk mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan siber serta menambah baik keberkesanan fungsi-fungsi NACSA, MKN sejajar dengan hasrat yang termaktub dalam Arahan MKN No. 26 Pengurusan Keselamatan Siber Negara dan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (Malaysia Cyber Security Strategy, MCSS).

Perdana Menteri juga berpandangan, Malaysia harus menelusuri cabaran era digital yang menuntut kesiapsiagaan terbaik seluruh jentera kerajaan dalam menangani ancaman keselamatan siber.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 3:05 PM