KESELAMATAN siber tidak tertumpu kepada ancaman penggodaman atau penipuan atas talian saja, malah ia lebih kompleks kerana kemajuan teknologi yang pantas.
KESELAMATAN siber tidak tertumpu kepada ancaman penggodaman atau penipuan atas talian saja, malah ia lebih kompleks kerana kemajuan teknologi yang pantas.
Muhammad Saufi Hassan


JIKA menyentuh soal keselamatan siber, ia tidak tertumpu kepada insiden penggodaman, penipuan dalam talian dan buli siber semata-mata. Sebaliknya memberikan definisi lebih menyeluruh dan kegiatan jenayah yang sangat kompleks.

Keupayaan kecerdasan buatan (AI) pada hari ini juga mungkin boleh ditakrifkan sebagai keselamatan siber seperti penyalahgunaan AI untuk tujuan fitnah dan sebagainya.

Perundangan perlu mendahului senario semasa supaya setiap insiden yang berlaku dapat diselia mengikut lunas undang-undang.

Atas dasar itu, Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Siber 2024 diluluskan pada 27 Mac lalu dan ia memberi kesan yang sangat signifikan, sekali gus mampu untuk menjadi 'perundangan banteras' bagi peningkatan kes jenayah siber dan insiden keselamatan siber di negara ini.

Berdasarkan kepada Forum Ekonomi Dunia (WEF) dalam Laporan Prospek Keselamatan Siber Global 2024, 54 peratus organisasi mempunyai keupayaan keselamatan siber terhad bagi mengesan kelemahan siber dalam rangkaian bekalan mereka.

WEF turut melaporkan 41 peratus organisasi mengalami insiden keselamatan siber tahun lalu disebabkan pihak ketiga.

Statistik Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) turut menunjukkan trend serangan siber seperti Penafian Perkhidmatan Tersebar (DDOS), pencerobohan, jangkitan perisian hasad, pengehosan perisian hasad dan Advanced Persistent Threat (APT) meningkat dari 2016 hingga 2022.

Pada 2022, sejumlah 7,192 insiden keselamatan siber dilaporkan kepada Nacsa berbanding 5,575 pada 2021 dan 4,194 pada tahun sebelumnya.

PERUNDANGAN perlu mendahului situasi semasa supaya sebarang insiden dapat ditangani dengan berkesan.
PERUNDANGAN perlu mendahului situasi semasa supaya sebarang insiden dapat ditangani dengan berkesan.

Pakar Penganalisis Keselamatan, Profesor Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, perundangan itu juga penting untuk menjaga aset kritikal negara seperti yang digariskan Menteri Digital, Gobind Singh Deo berhubung kebergantungan pengendalian Infrastruktur Maklumat Nasional Kritikal (NCII).

"Jika menyentuh soal keganasan atau ancaman pengganas, dunia hari ini tidak hanya tertumpu kepada serangan bom berani mati, tetapi turut menggunakan keupayaan teknologi untuk melumpuhkan sistem sesebuah negara.

"Kita juga perlu akui bahawa aspek ancaman siber sudah menjadi sebahagian daripada 'sistem peperangan moden' dan untuk tujuan itu, negara perlu bersedia dengan segala kemungkinan.

"Teknologi yang dinikmati pada hari ini turut mempunyai kesan sampingan, tetapi kita boleh mengawalnya dengan kewujudan perundangan khusus seperti undang-undang berkaitan keselamatan siber ini," katanya.

Memetik tulisan Pensyarah Kanan (Undang-Undang Siber) Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Mahyuddin Daud menyatakan bahawa ada perkembangan positif kerana insiden keselamatan siber pada tahun lalu menurun dengan ketara kepada 3,232 kes.

Penulisan beliau menyatakan bahawa penurunan ini mencerminkan keberkesanan langkah proaktif dilaksanakan menerusi Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020-2024 untuk melindungi ruang siber kita.

RUU Keselamatan Siber mampu memberikan rangkuman perundangan lebih baik jika menyentuh soal ancaman keselamatan siber.
RUU Keselamatan Siber mampu memberikan rangkuman perundangan lebih baik jika menyentuh soal ancaman keselamatan siber.

"Justeru, langkah proaktif dilaksanakan perlu lebih diperluaskan secara selaras bagi memastikan tempoh pengesanan dan tindak balas terhadap insiden keselamatan siber dapat disingkatkan melalui proses sistematik, penggunaan teknologi bersesuaian dan modal insan berkepakaran tinggi," tulisnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, pihaknya konsisten dalam memperjuangkan perundangan berkenaan sejak daripada awal sehingga peringkat kelulusan, awal bulan ini.

"RUU Keselamatan Siber ini akan memberikan rangkuman punca kuasa kepada Nacsa selaku agensi keselamatan siber dan diharap sedikit sebanyak mampu memberikan perlindungan kepada pengguna.

"Dunia teknologi pada hari ini pantas bergerak dan untuk tujuan itu, seliaan perundangan juga perlu seiring supaya tidak ketinggalan serta tidak ada kelompongan dalam sistem perundangan di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 6:30 AM