Sebanyak 44 premis yang dikendalikan warga asing di sebuah pasaraya di Jalan Kenanga ditutup serta-merta dalam operasi bersepadu di sini semalam.
Sebanyak 44 premis yang dikendalikan warga asing di sebuah pasaraya di Jalan Kenanga ditutup serta-merta dalam operasi bersepadu di sini semalam.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tidak beri muka apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita 44 premis dikendalikan warga asing di pusat pemborong terkemuka di Jalan Kenanga, di sini, semalam.

Peniaga warga asing terbabit dipercayai menjual tudung, kain, pakaian, kasut, beg, aksesori telefon pintar, peralatan komputer dan rokok elektronik (vape).

Operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

DBKL berkata, hasil serbuan dan pemeriksaan bersepadu kali ini, sejumlah 217 aktiviti premis perniagaan membabitkan kedai diperiksa.

"Seramai 85 pekerja dan pengendali premis perniagaan diperiksa terutamanya membabitkan warga negara asing.

"Daripada jumlah itu, 29 pekerja warga asing dengan 22 daripadanya warga Indonesia (3), Pakistan (3) dan Indonesia (1) ditahan JIM kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Menurutnya, DBKL menutup serta merta 44 premis dikendalikan warga asing terbabit mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Sebanyak 51 notis kompaun dikeluarkan membabitkan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, penggajian warga asing dan melanggar syarat lesen dibawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Surat tunjuk sebab akan dikeluarkan selepas ini terus kepada pemilik premis warga tempatan bagi pengesyoran penamatan atau pembatalan lesen perniagaan berikutan membenarkan warga asing mengendalikan aktiviti perniagaan mereka tanpa kebenaran sah.

"Pihak SSM juga mengeluarkan 92 notis kompaun pelbagai kesalahan dan pelanggaran undang-undang berkaitan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (64 notis) danAkta Syarikat 2016 (28 notis) ke atas pemilik perniagaan dan syarikat semasa pemeriksaan bersepadu dijalankan," katanya.

Sementara itu, JPN membuat 42 semakan dan teguran terhadap individu pengendali perniagaan berkaitan penggunaan kad pengenalan yang sah berdaftar atau meragukan menerusi Akta Pendaftaran Negara 1959.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 1:21 PM