ANTARA wanita yang ditahan. FOTO Ihsan Facebook DBKL
ANTARA wanita yang ditahan. FOTO Ihsan Facebook DBKL
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Sebanyak 11 premis sekitar Parlimen Kepong dan Seputeh diserbu pihak penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) manakala 18 wanita warga asing ditahan kerana menjalankan aktiviti tidak bermoral pada Jumaat.

DBKL menerusi hantaran Facebooknya berkata, wanita warga asing itu terdiri daripada lapan warga China, empat (Thailand), tiga (Indonesia), dua (Filipina) dan seorang (Vietnam) disyaki menjadi tukang urut dan pelayan seks.

Katanya, kejayaan ini melalui risikan dibuat di beberapa lokasi premis tumpuan yang menjalankan aktiviti tidak bermoral.

"Pihak DBKL sudah mengenal pasti premis rumah urut menawarkan aktiviti pelacuran.

"DBKL turut membuat tindakan memecahkan 35 sekatan bilik yang dibina tanpa kelulusan serta membuat tindakan sita terhadap 92 barangan dan peralatan bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral termasuk kondom, minyak pelincir, tisu basah, monitor, modem wifi, cctv (kamera litar tertutup) dan lain-lain," katanya hari ini.

Katanya, semua premis ini dikenakan tindakan penutupan serta merta di bawah Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Barangan yang disita, dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, Taman Miharja untuk didokumentasi dan penyimpanan sementara sebelum tindakan lanjut terhadap pemilik premis," katanya.

Selain itu, sebanyak 11 notis kompaun di bawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 juga dikeluarkan atas kesalahan melantik pembantu dan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran.

DBKL turut memaklumkan operasi ini dijalankan Jabatan Penguatkuasaan yang melaksanakan Tindakan Khas Premis Berisiko (Aktiviti Rumah Urut atau Pelacuran) Siri Tiga 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 6:58 PM