Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang pemotong rumput dijatuhi hukuman penjara 6 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan mencederakan dan mengugut adik ipar selepas berang ditegur tindakannya memarahi anak saudara.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap Shahrum Baba, 48, yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Shahrum didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, Mastura Samsudin, 38, dengan kayu di sebuah rumah di Lorong Bilal Karim, Batu 7 1/2 Bukit Rambai, di sini, pada 11 Julai lalu kira-kira jam 4.30 petang.

SHAHRUM Baba mengaku bersalah atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
SHAHRUM Baba mengaku bersalah atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mendatangkan ketakutan terhadap wanita itu di tempat, tarikh dan masa sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 11 Julai lalu.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Siti Bahiyah Amir Haidi memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira kecederaan dialami mangsa.

Shahrum yang tidak diwakili peguam mengatakan dia tidak sengaja mencederakan adik iparnya itu dan memohon hukuman ringan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian mangsa bertindak menegur tertuduh yang memarahi anak ketiganya.

Tindakannya itu menyebabkan tertuduh meluru ke arah mangsa sambil membaling kayu hingga terkena tangan kirinya sebelum membaling pasu bunga, namun sempat dihalang suami wanita itu.

Tertuduh kemudian mengambil kayu dan membaling hingga kena dahi mangsa dan mengugut mangsa dengan pisau.

Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka akibat kecederaan dialami dan membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri dan keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 6:15 PM