Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Bekas kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tujuh tuduhan mengemukakan pesanan penghantaran dan invois mengandungi pernyataan palsu.

Ia berhubung pembekalan mesin pemerah susu dan lembu yang keseluruhannya bernilai RM3.7 juta.

A Dominic Antoni, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Azura Alwi.

Dominic didakwa atas dua tuduhan mengemukakan dua pesanan penghantaran yang mengandungi pernyataan palsu kepada Penolong Pegawai Veterinar membabitkan pembekalan bekas pemerah susu dan mesin penyejuk susu lembu berjumlah RM1.55 juta, yang sebenarnya tidak pernah dibekalkan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia di Wisma Tani, Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya antara 5 Januari dan 25 Mac 2016.

Tertuduh juga didakwa atas empat tuduhan mengemukakan pesanan penghantaran dan invois yang mengandungi pernyataan palsu berhubung pembekalan 441 lembu yang mana 171 lembu bernilai RM1.96 juta tidak pernah dibekalkan, di tempat yang sama antara 16 April 2015 dan 5 September 2017.

Bagi tuduhan ketujuh, dia didakwa mengemukakan pesanan penghantaran yang mengandungi pernyataan palsu berhubung pembekalan tempat memerah susu bernilai RM350,000 yang mana sebenarnya tidak pernah dibekalkan, juga di tempat sama, antara 15 September 2015 dan 17 Disember 2015.

Kesemua tuduhan itu adalah mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) akta sama, memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwan Shah Abdul Samat berkata, jika mahkamah memutuskan untuk membenarkan tertuduh dijamin, pihaknya mencadangkan jumlah jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Kedah sebulan sekali sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Karthigesan Shanmugam yang mewakili Dominic memohon jaminan anak guamnya dibenar dengan jumlah jaminan yang munasabah kerana anak guamnya memberi kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang siasatan kes.

Katanya, anak guamnya kini tidak mempunyai pekerjaan tetap dan melakukan kerja rencam.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya melapor diri sebulan sekali di ibu pejabat SPRM di Sungai Petani sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan pada 12 Julai ini bagi sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 3:06 PM