Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Pembantu Ehwal Ekonomi Gred E19 di Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan memalsukan dokumen pembekalan benih nanas berjumlah RM41,025, enam tahun lalu.

Tertuduh, Hasren Amat Sibani@Fahrudin, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Abdul Kamal Arifin Ismail.

Hasren didakwa dengan niat untuk memperdayakan prinsipalnya iaitu LPNM, suatu dokumen pesanan pembekalan benih nanas yang mengandungi butiran matan palsu iaitu pembekalan benih tidak dibekalkan seperti dalam tuntutan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat LPNM Malaysia Wilayah Selatan Daerah Pontian pada April, Mei dan Disember 2015.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.

Lelaki itu berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

TERTUDUH didakwa memalsukan dokumen pembekalan benih nanas berjumlah RM41,025, enam tahun lalu. FOTO Nur Aisyah Mazalan
TERTUDUH didakwa memalsukan dokumen pembekalan benih nanas berjumlah RM41,025, enam tahun lalu. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ikhwan Ihsan Jalaludin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Salleh Togimin.

Terdahulu, Ikhwan Ihsan memohon mahkamah memberikan jaminan RM30,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun peguam tertuduh memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya menanggung isteri, tiga anak serta dua anak saudara selain perlu menjalani rawatan fisioterapi kerana bahagian badannya cedera terbakar selepas terbabit dalam kemalangan.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Ogos bagi serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 11:06 AM