Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kehilangan atau kerugian wang awam, pembayaran tidak teratur dan pembaziran sejumlah RM158.08 juta dikesan berlaku di tiga kementerian dan empat Jabatan Persekutuan yang diaudit oleh Jabatan Audit Negara bagi 2021.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, tiga kementerian yang diaudit pematuhan itu ialah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) dan Kementerian Pertahanan manakala empat Jabatan Persekutuan terbabit adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata, pengauditan pematuhan itu membabitkan jumlah semakan audit sebanyak RM1.127 bilion.

Katanya, pengauditan itu dibahagikan kepada kategori Terimaan dengan jumlah semakan sebanyak RM78.86 juta dan kategori Bayaran dengan jumlah semakan RM1.048 bilion.

"Isu yang membabitkan kehilangan atau kerugian wang awam adalah sejumlah RM116.95 juta, pembayaran tidak teratur sejumlah RM26.03 juta dan pembaziran sejumlah RM15.10 juta.

"Ketua Audit Negara mengemukakan 22 syor untuk tindakan penambahbaikan oleh Kementerian dan Jabatan Persekutuan berkaitan," katanya pada sidang media Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2, di sini, hari ini.

NIK Azman pada sidang media Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021. FOTO Mohd Fadli Hamzah
NIK Azman pada sidang media Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021. FOTO Mohd Fadli Hamzah

"Secara keseluruhannya, terdapat kelemahan dalam kutipan duti kastam bagi kenderaan import di Pulau Bebas Cukai (PBC)) dengan duti kastam berjumlah RM72.32 juta terkutip kurang disebabkan syarat pemastautin dan pemilikan kenderaan tidak dipatuhi serta pengiraan duti eksais tidak tepat," katanya.

Beliau berkata, audit itu dijalankan di Langkawi dan Labuan.

Berikutan itu, beliau berkata, LKAN mengesyorkan untuk semakan semula dibuat terhadap syarikat pembelian kenderaan di PBC serta memastikan garis panduan yang dikeluarkan, dipatuhi terutama penilaian taksiran.

Katanya, Bahagian Perkastaman juga disaran menjalankan pengauditan selepas pelepasan barangan import, Ketua Jabatan perlu memastikan supaya pegawai bawah seliaan melaksanakan tugas dengan mematuhi peraturan yang berkuat kuasa.

Ia juga mencadangkan penambahbaikan peraturan berkaitan keseragaman dalam membuat penilaian terhadap kenderaan motor pasang siap yang dibawa keluar dari PBC ke Kawasan Utama Kastam (KUK) untuk mencegah daripada ketirisan hasil negara.

Nik Azman berkata, LKAN turut mengenal pasti kelemahan dalam terimaan dana berbentuk kewangan dan aset serta bayaran Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) bawah perjanjian konsesi pengurusan industri padi dan beras negara.

"Setakat 31 Disember 2021, dana obligasi sosial 2021 berjumlah RM37 juta belum diterima oleh MAFI, manakala SSHP berjumlah RM0.73 juta dibayar kepada pesawah yang sudah meninggal dunia.

"Pembekalan jentera bernilai RM3.12 juta tidak mematuhi perjanjian konsesi dan jentera bernilai RM0.87 juta belum digunakan tetapi telah rosak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 4:18 PM