WAKIL Gabungan PHSKLU menghantar surat menggesa Menteri Besar Selangor menyegerakan pewartaan semula hutan simpan berkenaan. FOTO Norazmira Che Noh
WAKIL Gabungan PHSKLU menghantar surat menggesa Menteri Besar Selangor menyegerakan pewartaan semula hutan simpan berkenaan. FOTO Norazmira Che Noh
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Proses pewartaan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang sebelum ini dinyahwartakan sudah dimuktamadkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), dua minggu lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, isu itu dianggap sudah selesai dan pelaksanaan akan dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).

"Sudah (diwartakan semula) dalam MMKN dua minggu lepas tapi ada sebahagian kita keluarkan untuk jajaran paip Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau dan Kampung Busut Baru (Kampung Orang Asli Busut Baru).

"Perkara ini dianggap sudah selesai dan pengumuman akan dilakukan oleh JPNS," katanya ketika mengulas perkembangan proses pewartaan semula HSKLU di sini, hari ini.

Terdahulu, Amirudin merasmikan Program Sumbangan Korban Negeri Selangor 2023 yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian negeri, Izham Hashim di Pusat Konvensyen MBSA.

Sebelum ini, isu penyahwartaan HSKLU mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk aktivis alam sekitar dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung membentuk gerakan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU).

Penyahwartaan itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian pada sesi penggulungan pertanyaan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Ogos 2021.

Pada sidang berkenaan, Loy Sian memaklumkan kira-kira 536.7 hektar dari keseluruhan kawasan HSKLU diluluskan untuk dinyahwarta mengikut Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

Katanya, sebanyak 581.48 hektar kawasan turut diluluskan sebagai gantian hutan simpan kekal di negeri ini.

Sementara itu, kerajaan negeri menyerahkan 700 lembu dan 1,000 kambing kepada masjid, surau, agensi dan institusi yang akan melaksanakan ibadah korban pada akhir bulan ini.

Amirudin berkata, secara keseluruhan, kerajaan negeri membelanjakan RM6 juta bagi pelaksanaan ibadah itu tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 2:10 PM