Norzamira Che Noh

Shah Alam: Wakil kaum Orang Asli mendakwa sesi pendengaran awam yang diadakan pada November tahun lalu bagi tujuan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dilakukan keadaan tergesa-gesa.

Aktivis Orang Asli, Shaq Koyok berkata, penduduk di lima kampung Orang Asli hanya diberikan notis makluman empat hari sebelum sesi pendengaran awam itu dilakukan.

"Lokasi bagi program itu juga dibuat di Pulau Carey yang mana agak jauh dari kawasan kampung dan menyukarkan penduduk untuk ke sana. Justeru tidak ramai yang dapat hadir ke sesi berkenaan," katanya ketika ditemui di sini tadi.

Dalam pada itu, Shaq berkata, pihaknya juga sudah menghantar memorandum bantahan penyahwartaan pada Februari tahun lalu bagaimanapun tiada maklum balas diterima.

"Penyahwartaan juga diluluskan ketika pandemik Mei lalu, secara tiba-tiba.

"Hutan ini banyak kepentingan kepada rakyat Selangor secara keseluruhannya kerana hutan adalah tempat penyerapan karbon dioksida. Kalau tiada hutan, pemanasan global akan terus berlaku. Jadi kami berharap Menteri Besar akan membatalkan kelulusan nyahwarta HSKLU," katanya.

Terdahulu, Shaq bersama wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) hadir untuk menyerahkan memorandum dan penyerahan 'Poskad Dari Esok' kepada Menteri Besar Selangor tadi.

Shaq (kiri) bersama Gabungan NGO Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara pada sidang media penyerahan memorandum kepada Menteri Besar Selangor untuk membatalkan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara. FOTO FAIZ ANUAR
Shaq (kiri) bersama Gabungan NGO Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara pada sidang media penyerahan memorandum kepada Menteri Besar Selangor untuk membatalkan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara. FOTO FAIZ ANUAR

Antara NGO yang mengemukakan bantahan adalah Center for Orang Asli (COAC); Five Arts Centre; Global Environment Centre (GEC); Greenpeace Malaysia dan banyak lagi.

Sementara itu, isu penyahwartaan HSKLU terus mendapat perhatian berikutan ia didakwa dilakukan secara tergesa-gesa.

Penyahwartaan itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian pada sesi penggulungan pertanyaan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada bulan lalu.

Pada sidang berkenaan, Loy Sian memaklumkan kira-kira 536.70 hektar dari keseluruhan kawasan HSKLU diluluskan untuk dinyahwarta mengikut Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

Katanya, sebanyak 581.48 hektar kawasan turut diluluskan sebagai gantian hutan simpan kekal di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 6:40 PM