Kawasan hutan berdekatan kawasan Perumahan Bukit Bayu, Seksyen U 10, gambar fail 2018. FOTO NSTP
Kawasan hutan berdekatan kawasan Perumahan Bukit Bayu, Seksyen U 10, gambar fail 2018. FOTO NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACFS) menggesa kerajaan Selangor menjelaskan status penyahwartaan kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah di Seksyen U10, di sini, yang didakwa mengelirukan.

Jurucakap SACFS Teckwyn Lim berkata, pihaknya mengharapkan satu pertemuan dapat dibuat dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Hee Loy Sian bagi mengetahui perkara sebenar mengenai status tanah itu.

Katanya, kenyataan Loy Sian bertarikh 24 September lalu merujuk kepada sebuah lakaran peta pewartaan PW1443 dinyatakan sebagai bukti, tetapi pihaknya tidak menemukan sebarang maklumat yang mengesahkan proses penyahwartaan itu sudah dilakukan.

"Jadi, lebih baik jika kami dapat bertemu dengan Yang Berhormat (YB) dan pihak YB beri satu tarikh janji temu awal supaya kekeliruan isu ini dapat dijelaskan dengan segera," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan permohonan janji temu itu kepada wakil pejabat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar di pintu masuk utama Bangunan SUK, di sini, semalam.

Lim berkata, dalam Enakmen Perhutanan Selangor 1985, penyahwartaan hutan simpan kekal wajib diterbitkan dan disempurnakan melalui proses pemberitahuan di dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor.

Menurutnya, undang-undang menyatakan semua penyahwartaan hutan simpan kekal wajib diterbitkan dalam Warta Kerajaan Negeri, tetapi peta PW1443 itu tidak pernah diterbitkan sama ada dalam Warta Kerajaan Negeri, surat khabar atau apa juga media.

"Oleh itu, ia adalah salah untuk menyatakan PW1443 adalah bukti penyahwartaan Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah. Kami juga mendapatkan satu salinan peta terbitan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Selangor bernombor PW1443.

"Walaupun peta ini memang menunjukkan kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah, ia tidak sama dengan kandungan dokumen Pemberitahuan Warta yang diterbitkan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor 2006," katanya.

SACFS juga mendesak untuk arahan henti kerja (stop-work order) dilaksanakan di kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah sehingga penyelesaian kepada masalah ini dan kata putus dikeluarkan.

Pada 24 September lalu, Loy Sian memaklumkan projek pembangunan berhampiran Bukit Cerakah dan Hutan Komuniti Shah Alam berada di luar kawasan hutan simpan kekal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 11:46 AM