Paya Linda Yahya


Gua Musang: Polis menerima enam laporan membabitkan kes seorang ustaz di sebuah pusat tahfiz yang ditahan kerana disyaki meliwat tiga pelajarnya sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata pihaknya tidak menolak akan ada lagi laporan dibuat mangsa terhadap suspek.

Katanya, enam laporan diterima masing-masing tiga di Machang dan Bachok.

"Banyak perkara yang kita nak lihat dan setakat ini pada peringkat awal hanya satu laporan, kemudian menjadi tiga laporan dibuat dan akhir-akhir ini ada lagi laporan akan dibuat.

"Ia membabitkan tiga di Bachok di mana suspek sebelum ini bertugas di sana. Bila dia pindah ke Machang, dia bawa sekali budak-budak berkenaan dan perbuatan itu disyaki bermula sejak 2022 hingga April ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Raya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di sini, semalam.

Mengulas lanjut Muhamad Zaki berkata, pihaknya juga akan terus memantau segala aktiviti pengajian agama yang dibuat di madrasah atau pondok kawasan masing-masing.

"Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah dan juga Ketua Balai untuk melihat di kawasan masing-masing ada tak madrasah atau pondok pengajian yang berbentuk begini.

"Yang di bawah Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) saya rasa tidak ada masalah sebab dipantau, yang tidak dipantau ini, walaupun percuma misalnya tetapi sudah tentulah kosnya ditanggung oleh orang persendirian, atau oleh masyarakat setempat.

"Jadi kita mahu sekolah agama ini biarlah memberikan pengajian yang betul, yang boleh menjaga kebajikan anak-anak ini, dan tidak berlaku perkara seperti ini. Kalau kita biarkan takut ada lagi berlaku," katanya.

Terdahulu media melaporkan seorang guru sebuah pusat tahfiz di sini, ditahan kerana disyaki meliwat tiga pelajarnya sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 8:59 AM
Muhamad Zaki ketika sidang media selepas Sambutan Hari Raya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di sini, semalam. FOTO Paya Linda Yahya
Muhamad Zaki ketika sidang media selepas Sambutan Hari Raya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di sini, semalam. FOTO Paya Linda Yahya