Amirudin, gambar fail. FOTO NSTP
Amirudin, gambar fail. FOTO NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Hanya 42.8 hektar daripada jumlah keseluruhan 536.7 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) kekal dinyahwartakan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, keputusan dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor hari ini.

"Ini sebagai usaha melengkapkan pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru bagi menyelesaikan isu yang tertangguh sejak 2006.

"Mereka dipindahkan dari penempatan asal mereka pada 1994 untuk tujuan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan sebahagian kecil lagi kawasan akan kekal nyahwarta untuk tujuan pertimbangan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

"Kerajaan Negeri akan menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan itu serta membatalkan pemberimilikan tanah itu kepada syarikat terbabit.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri akan memulakan proses mewartakan semula HSKLU.

"Pada masa sama, kawasan gantian yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal seluas 581.1 hektar di Sungai Panjang, Ampang Pechah dan Bukit Broga akan kekal statusnya sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK)," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menegaskan segala proses penyahwartaan sebelum ini mengikuti segala prosedur dan tatacara yang dinyatakan mengikut lunas undang-undang.

"Sebagai sebuah kerajaan yang berteras prinsip akauntabiliti, kerajaan negeri akan menulis surat kepada Speaker Dewan Negeri Selangor untuk mengadakan sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) bagi menjawab sebarang isu-isu yang dibangkitkan berkenaan dengan penyahwartaan sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 11:16 PM