Konsulat Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi ketika ditemui di majlis Festival Asean di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Konsulat Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi ketika ditemui di majlis Festival Asean di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Pattani: Seramai 700 pasangan dari Malaysia berkahwin di Selatan Thailand sejak Januari sehingga Mac tahun ini.

Konsulat Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, berkata daripada jumlah berkenaan kebanyakan mereka berpoligami selain tidak mendapat restu keluarga.

Menurutnya, kebanyakan mereka memilih untuk melakukan akad nikah di Songkhla selain Narathiwat, Yala dan Pattani.

Bagaimanapun, pihaknya percaya angka sebenar rakyat Malaysia yang berkahwin di Selatan Thailand jauh lebih banyak namun mereka tidak membuat pengesahan dokumen pernikahan di pejabat konsulat di Songkhla.

"Angka yang kita dapat itu berdasarkan pasangan yang tampil membuat pengesahan dokumen pernikahan. Namun bagi mereka yang tidak membuat pengesahan, kita tidak tahu.

"Namun kita percaya ramai yang tidak tampil membuat pengesahan sekali gus menyukarkan pasangan berkenaan untuk mendaftarkan perkahwinan di Malaysia.

"Antara punca mereka tidak membuat pengesahan dokumen perkahwinan disebabkan enggan perkahwinan mereka diketahui mana-mana pihak," katanya ketika ditemui di sini.

Mengulas lanjut katanya, setiap pengesahan dokumen perkahwinan yang dibuat di pejabat konsulat, pihaknya akan membuat semakan sama ada pasangan berkenaan berkahwin dengan jurunikah bertauliah atau sebaliknya.

"Alhamdulillah setakat kini mereka yang membuat pengesahan berkahwin dengan jurunikah yang bertauliah. Kita khuatir mereka yang tidak membuat pengesahan dinikahkan dengan jurunikah yang tidak bertauliah, sebaliknya yang disediakan ejen tertentu.

"Justeru, kita nasihatkan kepada mana-mana pasangan dari Malaysia yang mahu berkahwin di Selatan Thailand supaya tidak tertipu dengan ejen nikah yang menawarkan pelbagai pakej namun akhirnya dinikahkan dengan jurunikah tidak bertauliah.

"Ada juga kes dimana pasangan sudah membayar ribuan ringgit namun akhirnya di tinggalkan terkontang kanting di sini tanpa sempat bernikah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 9:27 AM