HEE Loy Sian (berdiri) ketika berucap pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di SUK Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
HEE Loy Sian (berdiri) ketika berucap pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di SUK Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Perhutanan mengambil pelbagai tindakan bagi memastikan jumlah hutan simpan dikekalkan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata selain daripada itu, kerajaan negeri juga turut berusaha untuk meningkatkan keluasan hutan simpan.

"Sehingga kini, Selangor mempunyai 250,860 hektar hutan simpan kekal atau 31.63 peratus daripada keluasan tanah negeri.

"Daripada jumlah itu, sejumlah 44,543 hektar diwartakan dalam kelas hutan tadahan air manakala 130,360.15 hektar diwartakan dalam kelas hutan perlindungan.

"Hutan perlindungan tidak boleh digunakan untuk tujuan keberhasilan atau pembalakan," katanya ketika menggulung usul mempertahankan status hutan simpan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini. Usul berkenaan dibawa Najwan Halimi (PH-Kota Anggerik) dan mendapat sokongan sebulat suara oleh ahli dewan selepas dibahas tiga ADUN iaitu Michelle Mei Sze (PH-Subang Jaya); Datuk Mohd Imran Tamrin (BN-Sungai Panjang) dan Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku).

Loy Sian berkata, kerajaan negeri juga menambah baik Seksyen 11 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 pada 2011 iaitu kaedah penyiasatan awam perlu dilakukan sekiranya mana-mana hutan mahu dinyahwartakan.

"Setiap hutan yang dinyahwarta perlu diganti dengan hutan yang setara nilainya dan harus dilakukan secara serentak.

"Bagi Hutan Simpan Kuala Langat Utara, kita masih belum membuat keputusan kerana masih dalam peringkatan penyiasatan awam. Keputusan akan dilakukan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)," katanya.

Sementara itu, sidang DUN Selangor yang berlangsung sejak 2 November lalu ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 5:57 PM