FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Selangor menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Mei lalu meluluskan kawasan seluas 581.48 hektar sebagai gantian Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian berkata keputusan itu dibuat menerusi MMKN pada 5 Mei dan disahkan pada 19 Mei.

"Seluas lebih kurang 581.48 hektar diluluskan sebagai kawasan gantian HSK iaitu membabitkan PT4182 mukim Sungai Panjang di Sabak Bernam seluas kira-kira 308.62 hektar; Ampang Pechah, mukim Buloh Telor di Hulu Selangor (208.98 hektar) dan Bukit Broga, mukim Semenyih di Hulu Langat (63.88 hektar).

"Secara umumnya, kerajaan Selangor masih dapat mengekalkan keluasan HSK di negeri ini tidak kurang daripada 30 peratus.

"Setelah mengambil kira keluasan HSK yang akan dinyahwartakan dan kawasan gantian baru, jumlah keluasan HSK adalah kira-kira 250,255.36 hektar iaitu pertambahan sekitar 47.97 hektar," katanya ketika menggulung pertanyaan ahli-ahli DUN di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan yang dibangkitkan Elizabeth Wong Keat Ping (PH-Bukit Lanjan), Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang), Datuk Mohd Imran Tamrin (BN-Sungai Panjang), R. Rajiv (PH-Bukit Gasing) yang ingin mengetahui status penyahwartaan HSK Kuala Langat Utara dan isu cadangan penambahan keluasan HSK.

Loy Sian berkata, pada mesyuarat yang sama, MMKN turut memutuskan hanya kira-kira 536.70 hektar daripada keseluruhan kawasan HSK Kuala Langat Utara diluluskan untuk dinyahwarta mengikut Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

"Jumlah keluasan HSK Kuala Langat Utara yang ingin dinyahwarta ini adalah kurang 45 peratus daripada jumlah asal yang dicadangkan iaitu kira-kira 991.90 hektar.

"Hal ini adalah kerana kerajaan negeri mengambil kira bantahan dan kepentingan biodiversiti serta kepentingan Orang Asli, justeru hanya sebahagian HSK Kuala Langat Utara yang dinyahwarta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 5:20 PM