Hutan dan Orang Asli bagaikan irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. FOTO BERNAMA
Hutan dan Orang Asli bagaikan irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Banting: "Hutan Rosot? Bagi kami rosot adalah seperti padang pasir, langsung tak ada hidupan flora dan fauna. Dengan kata mudah, hutan miskin.

"Sedangkan hutan ini masih menjadi nadi kehidupan buat kami sejak ratusan tahun dahulu sehingga sekarang. Malah, kualiti hutan ini yang berusia 8,000 tahun kekal terpelihara," tegas suara Samsul Anak Senin, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Orang Asli, Kampung Orang Asli Busut Baru.

Hutan yang dimaksudkannya adalah Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai cadangan kerajaan Selangor menyahwartakan HSKLU bagi pembangunan bercampur. Alasan diberikan untuk membangunkan HSKLU ialah hutan berkenaan adalah hutan rosot.

"Masyarakat Orang Asli suku kaum Temuan di sini tertanya-tanya apa dimaksudkan kerajaan Selangor dengan hutan rosot sedangkan kami tak sukar mendapatkan segala sumber hutan sama ada untuk kegunaan sendiri mahupun sebagai mata pencarian.

"Biasanya tak sampai setengah jam dalam hutan (HSKLU), pelbagai sumber hutan mudah diperoleh dan kami boleh buktikan hutan ini masih kaya dengan khazanah alam," katanya.

Samsul Anak Senin menunjukkan pokok Meranti Sarang Punai. FOTO BERNAMA
Samsul Anak Senin menunjukkan pokok Meranti Sarang Punai. FOTO BERNAMA

Samsul turut membawa penulis menjejak sebahagian kecil hutan berkenaan dengan disertai beberapa penduduk serta wakil Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka). Sepanjang perjalanan suasana meriah dengan bunyi kicauan unggas.

"Dibayangi kebimbangan dengan pelbagai persoalan."

Begitu kehidupan Samsul dan masyarakat Orang Asli suku kaum Temuan lain yang sebelum ini tenang dan gembira bersama keluarga, apabila sampai ke pengetahuan mereka mengenai cadangan penyahwartaan HSKLU.

Cadangan dikemukakan pada awal tahun lalu sehingga kini, belum ada kata putus.

Apakah HSKLU yang juga hutan paya gambut di selatan Selangor berkeluasan 7,246.96 hektar dan kini hanya tinggal 957.63 hektar masih mahu dibangunkan?

Sekiranya rancangan berkenaan dilaksanakan, apa pula nasib mereka yang sudah lama bergantung hidup pada hutan yang menjadi kawasan rayau dan tanah adat buat masyarakat Orang Asli berkenaan?

Apakah kemungkinan identiti mereka sebagai Orang Asli suku kaum Temuan bakal terhapus, itu antara persoalan membelenggu penduduk di sini saban hari.

Hutan dan Orang Asli bagai irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Hutan adalah rumah bagi masyarakat Orang Asli meskipun mereka mempunyai kediaman di sekitar kampung.

"Kalau benar hutan itu rosot, maknanya kami tidak boleh hidup lagi di sini. Kami bukan saja kehilangan sumber pencarian ekonomi, tetapi juga kebudayaan, kraftangan, identiti serta warisan masyarakat Orang Asli Temuan.

"Segala budaya Orang Asli seperti bersewang, pembuatan alat muzik, sumpit, semua bahannya ada dalam hutan," tambahnya.

Dr Adham Baba. FOTO NSTP
Dr Adham Baba. FOTO NSTP

HSKLU yang diwartakan pada 13 Mei 1927 dan terletak di Mukim Tanjung 12, Daerah Kuala Langat, Selangor menjadi perhatian umum susulan daripada notis penyiasatan awam di bawah Seksyen 11 Akta Perhutanan Negara Enakmen (Pemakaian) 1985 (Subkaedah 7(2)) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada awal tahun lalu.

Notis itu yang bertujuan mendapatkan pandangan umum berikutan cadangan pemansuhan pewartaan HSKLU, mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat terutama komuniti Orang Asli yang bergantung hidup dengan hutan terbabit sejak ratusan tahun lamanya.

Bagi mereka, biarpun perancangan dikemukakan kerajaan negeri untuk projek pembangunan bercampur tidak meliputi keseluruhan HSKLU iaitu hanya sekitar 931.17 hektar daripada 957.63 hektar, namun ia tetap dianggap ancaman kepada kelangsungan hidup bagi 2,000 masyarakat Orang Asli yang menetap di empat kampung sekitar hutan itu.

Perkampungan itu kurniaan Sultan Selangor keempat, Almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah kepada masyarakat Orang Asli di situ. Ia terdiri daripada Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Bukit Cheeding, Busut Baru dan Bukit Kemandol.

Terletak di barat daya HSKLU, bukan sahaja perkampungan ini yang berada sekitar hutan berkenaan. Ia juga dikelilingi pelbagai pembangunan pesat guna tanah seperti pembangunan Gamuda Cove (selatan), perumahan Saujana Putra (utara), Lebuhraya Elite (sempadan timur) dan ladang Bukit Cheeding (Boh Plantations Sdn Bhd) di bahagian barat laut.

Cadangan keluasan yang ingin dinyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk tujuan projek pembangunan bercampur.
Cadangan keluasan yang ingin dinyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk tujuan projek pembangunan bercampur.

Akibatnya, kini keluasan HSKLU kurang 1,000 hektar dan menjadi kemusykilan, ia masih mahu dibangunkan!

Bagi 'menghalalkan' penyahwartaan hutan paya gambut berkenaan, kerajaan negeri bertunjangkan kepada hujah, 40 peratus daripada kawasan di situ sudah tidak lagi ada hutan dara selain bertujuan mencegah berulang kebakaran hutan.

Berdasarkan rekod dari 2012 sehingga 2017, seluas 359.60 hektar (888.21 ekar) kawasan hutan ini terbabit dalam kejadian kebakaran hutan dan ini antara alasan diberikan kerajaan Selangor untuk menjustifikasikan cadangan penyahwartaan itu.

Namun bagi masyarakat Orang Asli yang menetap di sini, mereka 'turun padang' dan turut serta melakukan pelbagai cara bersama agensi berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar bagi memelihara dan memulihara HSKLU yang merupakan warisan nenek moyang mereka berusia ratusan tahun.

Malah, gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) yang terdiri daripada kalangan pelbagai NGO alam sekitar seperti Peka, Greenpeace Malaysia sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa HSKLU masih ada 60 peratus kawasan hutan dara yang belum terjejas.

Manakala, 40 peratus kawasan hutan itu yang terkesan akibat kebakaran ditanam semula dan dipulihkan masyarakat setempat dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan serta NGO.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 8:00 AM