Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian ketika berucap pada Persidangan Dewan Undangan (DUN) Selangor di SUK Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian ketika berucap pada Persidangan Dewan Undangan (DUN) Selangor di SUK Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Status penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara masih dalam proses penyiasatan awam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian berkata, laporan penyiasatan awam itu sedang disiapkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk golongan Orang Asli di kawasan terbabit serta komuniti tempatan.

"Cadangan memansuhkan pewartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara masih dalam proses penyiasatan awam yang mana bantahan secara bertulis diterima oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor selama 30 hari bermula 5 Februari hingga 7 Mac lalu.

"Seterusnya, satu sesi pendengaran awam (town hall) sudah diadakan pada 28 dan 29 September lalu bagi memberi peluang kepada kerajaan negeri mendengar dan mengumpulkan pandangan serta bantahan secara lisan mengenai cadangan pemansuhan pewartaan berkenaan," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lau Weng San (PH-Banting) mengenai status dan perkembangan terkini mengenai cadangan memansuhkan pewartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Katanya, buat masa ini, tiada tarikh tertentu ditetapkan untuk memuktamadkan cadangan pemansuhan pewartaan hutan simpan berkenaan memandangkan kerajaan negeri masih menunggu laporan penyiasatan awam berkaitan yang perlu mengambil kira pandangan semua pihak terlebih dahulu.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan daripada R Rajiv (PH-Bukit Gasing) mengenai sesi pendengaran awam kali kedua, Loy Sian berkata, tiada sesi pendengaran kali kedua akan dilakukan kerana lebih 45,000 bantahan diterima sehingga kini.

"Oleh kerana pandemik Covid-19, kita tidak boleh memanggil satu persatu yang membantah justeru kita memilih mengikut kategori dan memberi keutamaan kepada komuniti setempat.

"Untuk isu ini, ia membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang, Banting dan Bukit Lanjan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 2:14 PM