RAKAMAN gambar tular di media sosial. FOTO Facebook
RAKAMAN gambar tular di media sosial. FOTO Facebook
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seorang lelaki meluahkan perasaan di media sosial apabila mendakwa seorang pramugari dalam penerbangan bertindak angkuh apabila menangani isu tali pinggang keledar membabitkan anak perempuannya yang berusia dua tahun.

Pengguna Facebook Fear Dawooz berkata, dia tidak berpuas hati dengan ketua kru kabin menolak permintaan keluarga untuk memberikan tali pinggang keledar tambahan untuk anak mereka.

"Bunyi agak melampau tapi hakikatnya benda ini terjadi pada saya, wife (isteri) dan anak yang memang kami akan ingat sampai bila-bila.

"Untuk mereka yang selalu travel (melancong) dengan anak kecil dengan flight (penerbangan) semoga sharing (perkongsian) ini dapat membantu," katanya dalam perkongsian di Facebook, semalam. Katanya, insiden bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 24 Mei lalu.

"Sampai masa untuk berlepas, proses semuanya lancar sampailah kami masuk ke dalam pesawat, tapi boleh tak bagi infant (kanak-kanak kecil) punya tali pinggang sebab anak saya menyusu badan dan takut dia tidak boleh duduk diam dekat tempat duduk sebab baru dua tahun," katanya.

Katanya, pesawat sudah mula bergerak, isterinya meletakkan anak mereka dan memakaikan tali pinggang namun anaknya menangis dan meronta-ronta.

"Kabin kru datang semula dan mengingatkan untuk suruh anak saya duduk, hanya ingatkan saja tanpa bertanya anak saya okay ke sebab masa anak menangis teruk sebab baru bulan lepas naik penerbangan duduk dengan emaknya, tiba-tiba kali ini kena duduk sendiri.

"Jadi lagi sekali, saya pula yang minta benda yang sama iaitu tali pinggang keledar kanak-kanak seperti diiklankan dekat halaman Facebook mereka," katanya.

Menurutnya, anaknya menangis tanpa henti selama 20 minit sebelum pesawat berlepas.

"Perasaan tertekan tak payah cakaplah, mereka yang ada anak kecil mesti faham, nak pasang tali pinggang di kerusi kereta pun 'struggle', inikan nak suruh duduk diam dekat pesawat dengan tali pinggang 20 minit.

"Dia menyuruh saya memaksa anak kecil saya duduk dan memasang tali pinggang keledar dengan kuat dan angkuh.

"Dia juga meminta kapten penerbangan memberi amaran dan memeras ugut kami atau dihalau keluar, jika saya tidak boleh memaksanya duduk dengan tali pinggang keledar diikat dan tidak bergerak," katanya.

Dia turut berkongsi video berdurasi 26 saat yang menunjukkan keengganan anak perempuannya untuk duduk diam ketika ibunya bergelut untuk memasang tali pinggang keledar kanak-kanak itu.

Ketakutan lelaki itu seterusnya menyifatkan syarikat penerbangan itu sebagai tidak 'mesra kanak-kanak' dan seterusnya meluahkan rasa tidak senangnya terhadap sikap pramugari terhadap mereka.

"Kamu (MYAirline) harus menyemak semula kakitangan yang menyebabkan kejadian ini.

"Krew kabin lain sangat sopan dan profesional kecuali ketua mereka, saya tertanya-tanya bagaimana dia boleh menjadi ketua," katanya.

Ketika menjawab kejadian itu, MYAirline memohon maaf kepada penumpang terbabit kerana melalui pengalaman kurang menyenangkan.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu berkata, di bawah dasar Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) adalah wajib bagi kanak-kanak berusia 24 bulan ke atas untuk duduk di tempat duduknya sendiri dengan tali pinggang keledar diikat dalam mana-mana penerbangan.

"Mengikut garis panduan, adalah wajib bagi kanak-kanak di bawah umur 24 bulan untuk duduk bersama ibu bapa atau penjaga dengan tali pinggang keledar bayi.

"Kami menyediakan penumpang dengan tali pinggang keledar bayi mengikut keperluan keselamatan yang ditetapkan oleh CAAM.

"Bagaimanapun, kanak-kanak berumur 24 bulan ke atas mesti diikat dengan tali pinggang keledar di tempat duduk mereka atas sebab keselamatan," katanya sambil menambah siasatan menyeluruh sedang dijalankan ke atas kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 5:36 PM