ANWAR bersama Menteri Besar, Amirudin Shari menerima al-Quran daripada Mantan Agung Mesir Al Imam al Allamah Prof Dr Ali Jum'ah (kanan) dan Pengasas dan Pengetua Darul Musthafa Tarim Yaman, Al Habib Umar Hafidz (kiri) pada majlis Muzakarah Ulama-Umara, semalam. FOTO NSTP
ANWAR bersama Menteri Besar, Amirudin Shari menerima al-Quran daripada Mantan Agung Mesir Al Imam al Allamah Prof Dr Ali Jum'ah (kanan) dan Pengasas dan Pengetua Darul Musthafa Tarim Yaman, Al Habib Umar Hafidz (kiri) pada majlis Muzakarah Ulama-Umara, semalam. FOTO NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru ulama harus berani menegur kerajaan dengan ikhlas demi mengangkat martabat umat dan negara adalah asas dan prinsip Islam yang seharusnya dilakukan.

Ketua Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Dr Muhammad Ikhlas Rosele berkata, ia juga antara yang ditetapkan dalam hubungan antara ulama dan umarak (pemerintah).

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Ulama Malaysia berkata, Islam menuntut umatnya mentaati Allah SWT, Rasulullah SAW dan pemerintah.

"Ketaatan kepada perintah diikat dengan ketaatan kepada perkara maaruf (yang dilarang) kerana tiada ketaatan kepada perkara yang membawa maksiat kepada Allah SWT.

"Kefahaman daripada hadis Nabi juga menunjukkan golongan ulama yang juga golongan tertinggi dalam agama perlu menegur pemerintah. Ini supaya mereka (pemerintah) dapat mentadbir negara dengan kaedah yang baik mencapai kemaslahatan dunia dan akhirat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, setiap teguran juga perlu dilakukan dengan cara yang beradab, lembut, baik dan tidak secara terangan dipengaruhi secara negatif.

"Saranan Perdana Menteri memang tepat kerana kalau kita melihat pada zaman Rasulullah SAW, Baginda (sebagai pemimpin) juga menerima teguran.

"Teguran juga diberikan dalam konteks seperti tidak mendedahkan aib seseorang itu tetapi sekiranya ada teguran oleh ulama itu turut memberi manfaat kepada masyarakat lain maka tiada masalah jika ia dibuat secara terangan tetapi masih dalam keadaan bersesuaian dengan tempatnya," katanya.

Sementara itu, Dr Muhammad Ikhlas berkata, ia sama juga dengan pandangan yang diberikan golongan itu dalam isu penganjuran konsert Coldplay apabila pemimpin perlu melihat teguran diberikan.

katanya, setiap apa saja yang mendorong atau menyokong kepada pemikiran dan budaya rakyat dalam amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) perlu diberi perhatian supaya tidak berlaku di negara Islam.

"Ini bukan lagi soal prinsip keagamaan semata-mata tetapi ia membabitkan prinsip kebudayaan. Saya percaya agama di Malaysia tidak menerima keterbukaan seperti LGBT dan pastinya ia bertentangan prinsip Islam dan norma kehidupan serta budaya.

"Perkara ini satu perkara yang sensitif dan dalam aspek ini kita berhak menegur pemerintah. Kita nampak secara jelas bahawa aktiviti sebegini banyak mendatangkan keburukan dan jelas bertentangan dengan prinsip dan norma masyarakat.

"Maka ia perlu dielak dan ditegur. Bahkan sekiranya ulama mendiamkan diri dalam aspek ini maka seolah-olah tergolong dalam perkara membantu dalam keburukan. Tugasnya adalah mengajak kepada kebenaran dan mencegah segala kemungkaran dan untuk menyeru beriman kepada Allah SWT," katanya.

Justeru, katanya, dalam keterbukaan Perdana Menteri menerima teguran, beliau berharap teguran yang diberikan mengenai isu itu dapat dipertimbangkan daripada perspektif yang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 2:53 PM