Mohd Iskandar Ibrahim


Shah Alam: Ulama harus berani menegur kerajaan dengan ikhlas demi mengangkat martabat umat dan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedia mendengar teguran itu selagi ia dibuat dengan baik, bukan untuk mencerca, memfitnah dan menghukum.

"Ini tiada perbezaan pendapat, ulama boleh tegur dengan baik, menghormati dan mendampingi supaya dapat diperbaiki dan itu ditekankan oleh ulama, bukan untuk mencerca, memfitnah dan menghukum.

"Apabila pimpinan (kerajaan) pula mendengar ulama bercakap dengan ikhlas, berani menegur dengan baik dan (kita sedia) terima dengan baik teguran itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turath Islami Selangor di sini, hari ini.

Muzakarah itu dihadiri bekas Mufti Agung Mesir Prof Dr Ali Jum'ah dan Pengasas dan Pengetua Darul Musthafa di Yaman Habib Umar Hafidz.

Anwar berkata, beliau yakin segala teguran itu mampu meletakkan negara di landasan yang baik sekali gus mengangkat martabat umat sejajar dengan cita-cita Madani.

"Ada hal yang kadang-kadang kita setuju tetapi mungkin tidak dilaksanakan segera kerana keterbatasan di negara kita dan tahap kefahaman umat juga (menjadi) satu hal.

"Jadi kadang-kadang apa yang kita bicarakan itu ditafsirkan berbeza dan bukan kerana satu uslub (kaedah) dan ittijahat (aliran) dalam politik ini," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, isu mengenai kalimah Allah boleh dibahas secara tertutup tetapi tidak boleh sehingga ia mengelirukan umat.

"(Isu kalimah Allah) boleh bahas lagi dalam majlis tertutup tetapi tidak patut mengelirukan umat, tetapi kita masih dituduh sebagai menggadai dan mengkhianati amanah serta sebagainya.

"Saya nak bagi satu contoh bagaimana perkara ini boleh berlarutan sedangkan harus ditumpu perhatian mengangkat martabat umat melalui kefahaman Islam, akhlak dan nilai bersihkan negara ini daripada gejala yang merosakkan," katanya.

ANWAR berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI serta Pusat Penjaja MADANI di Desa Tasik Sungai Besi, hari ini. FOTO Bernama
ANWAR berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI serta Pusat Penjaja MADANI di Desa Tasik Sungai Besi, hari ini. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 3:47 PM