ANWAR melihat buku ketika melawat tapak pameran pada Majlis Perasmian Seminar Fikrah Siddiq Fadzil 'Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia'. FOTO Bernama
ANWAR melihat buku ketika melawat tapak pameran pada Majlis Perasmian Seminar Fikrah Siddiq Fadzil 'Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia'. FOTO Bernama
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan pemimpin Pas bahawa ada wakil daripada kerajaan yang menawarkan kepada parti itu untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri berkata, beliau sama sekali tidak dimaklumkan berhubung perkara itu, malah ia tidak pernah dibincang di peringkat pimpinan tertinggi kerajaan antara Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN).

"Saya tidak dimaklumkan, saya tidak tahu sama sekali, tidak dari saya dan pemimpin kerajaan," katanya kepada media selepas Majlis Seminar Fikrah Siddiq Fadzil -Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa ada tawaran daripada kerajaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, tawaran itu kerana Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR menyedari kedudukannya tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak Pas.

Pemberian tawaran itu juga disahkan Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengakui ada pihak menemui beliau mengemukakan tawaran itu.

Semalam, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menafikan mengenai tawaran itu dan menyatakan beliau antara tiga individu yang banyak terbabit dalam soal perundingan Kerajaan Perpaduan, iaitu Perdana Menteri dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, isu tawaran itu perlu ditanya kembali kepada pemimpin Pas kerana mereka yang menyatakan sedemikian.

"Itu (tawaran) tanya dialah (Pas), mungkin daripada ketua rantingkah saya tidak tahu, tapi tidak pernah sampai dan tidak pernah dibincang di peringkat pimpinan PH atau BN," katanya.

Anwar bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya dakwaan Abdul Hadi bahawa tawaran diberikan Kerajaan Perpaduan kerana kerajaan kini kekurangan kerusi orang Melayu dan Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 1:04 PM