AHMAD Zahid berucap pada Majlis Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023. FOTO Bernama
AHMAD Zahid berucap pada Majlis Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Umno dan Barisan Nasional (BN) meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak lagi menoleh ke belakang dan terus memacu Malaysia menjadi sebuah negara terkehadapan termasuk di pentas antarabangsa.

Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun terdapat kritikan daripada pelbagai pihak terhadap kepimpinan negara dan kerajaan sedia ada, namun perkara itu harus diabaikan demi pembangunan negara.

"Di hadapan ini, rakyat seluruh negara mahu Perdana Menteri bersama-sama 19 parti dalam Kerajaan Perpaduan yang ada terus memacu Malaysia sebagai sebuah negara yang terkehadapan," katanya.

Presiden Umno itu berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan rakan-rakan dalam Kabinet akan pasti terus mendukung cita-cita murni yang dihasratkan Perdana Menteri di pentas antarabangsa.

"Inilah pemimpin bertaraf dunia yang harus kita dukung. Kami (Umno dan BN) mohon Datuk Seri Anwar kembalikan Malaysia untuk berada di garisan hadapan semula antara negara-negara Asean," katanya sambil meminta hadirin yang hadir untuk memberikan tepukan gemuruh kepada Perdana Menteri.

Ahmad Zahid berkata, konvensyen yang diadakan hari ini juga jelas memperlihatkan bahawa masa depan politik baharu negara sedang dilakar yang menjunjung kemajmukan dan kepelbagaian dengan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun Umno dan BN hanya memenangi 30 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang lepas, namun parti itu adalah pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan.

"Jika Pakatan Harapan ada 82 (kerusi), tanpa yang 30 (kerusi BN), tidak ada Kerajaan Perpaduan. Datuk Seri (Anwar) yang kami fikirkan bukanlah kepentingan tetapi kita fikir tentang mudarat.

"Manakah mudarat yang lebih besar (sama ada) dengan pihak sana atau pihak sini. Tetapi kami telah buat keputusan bahawa mudarat yang kecil ialah dengan Datuk Seri dan insya-Allah mudarat itu telah menjadi keberuntungan kepada rakyat Malaysia keseluruhan," katanya.

Mengenai sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan menerusi Rumah Terbuka Malaysia Madani di beberapa negeri, Ahmad Zahid berkata, sekiranya semua pihak di dalam kerajaan sederap membantu Perdana Menteri selain idealisme yang telah diterjemahkan ke dalam dasar yang baik, beliau yakin Kerajaan Perpaduan mampu melepasi Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang.

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan buat julung kali membuka tirainya menerusi Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Perpaduan, yang diadakan secara serentak pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 7:14 PM