PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Noraini ketika Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Merdeka. FOTO Aziah Azmee
PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Noraini ketika Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Merdeka. FOTO Aziah Azmee
Rohani Idris dan Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu mengelak mencari salah dan mengungkit kisah silam sekutu mereka ketika pernah bermusuhan di pentas politik sebelum ini.

Sebaliknya, pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan perlu berusaha membawa kerjasama dan kestabilan di peringkat kerajaan ke peringkat ahli parti komponen dan akar umbi, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) merangkap Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, struktur dan kerangka Kerajaan Perpaduan sangat jelas, merangkumi semua parti terbabit yang melangkaui sifir politik, agama dan kaum yang dimahukan rakyat.

"Ini bukan masa untuk setiap parti (dalam Kerajaan Perpaduan) mencari salah dan silap serta mengungkit kisah silam sepanjang permusuhan di pentas politik. Ya, mungkin pada peringkat awal (kerjasama) agak janggal.

"Siapa sangka saya boleh duduk semeja dengan Yang Berhormat (YB) Aiman (Ketua Wanita Pakatan Harapan, Aiman Athirah Sabu) dan boleh bekerja serta berbincang dengan YB Chong Eng (Ketua Wanita DAP).

"Namun, ini satu perkara yang sudah kita mulakan dan InsyaAllah, kita akan teruskan sampai bila-bila. Dengan gabungan besar yang sarat dengan pengalaman, potensi yang ada ini tidak boleh disia-siakan.

"Kita perlu fokus, jadikan konvensyen ini sebagai titik mula kepada sebuah agenda yang lebih besar, tekad bersama dan jangan bertangguh lagi," katanya pada Konvensyen Wanita Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Sementara itu, Aiman Athirah dalam ucapannya pada konvensyen sama berkata, setiap program yang dirangka Kerajaan Perpaduan mengambil kira wanita yang tidak diketepikan dalam apa juga cara dan wajah.

"Setiap program Madani yang dirangka tidak hanya mengambil kira wanita sebagai "objek pembangunan. Ini hendaklah diterjemahkan kepada perubahan hubungan lelaki dan wanita di tahap individu, komuniti, masyarakat dan negara," katanya.

Aiman Athirah yang juga Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, wanita dalam Kerajaan Perpaduan bukan lagi kumpulan yang 'terperosok' dalam kerjaya rumah tangga saja, sebaliknya turut menjadi tonggak perusahaan negara.

"Lihat saja bagaimana kami menjadikan pertanian itu ditransformasi menjadi perindustrian dengan merubah keledek di batas kebun menjadi kerepek dan rempeyek di rak pasar raya kota.

"Dapur dulunya berasap untuk keluarga kini mengorak menjadi wanita berkerjaya sebagai 'home baker'," katanya yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Justeru, katanya, wanita kini memerlukan akses kepada sokongan kerajaan kerana golongan itu bukan peserta sosial dalam kegiatan perusahaan semata-mata, tetapi juga penentu sebenar dalam perusahaan.

"Pelan Madani yang dibentuk kerajaan adalah pelan yang mendaya upaya wanita. Justeru, wanita perlu diberi akses sama rata dalam semua faktor dan proses pengeluaran, modal, kredit, bantuan teknikal, latihan dan sokongan sosial.

"Malah, wanita perlu diizin restu menjawat salah satu posisi tinggi awam seperti Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP). Wanita jangan dilihat dalam konteks beban dwi peranan lagi, iaitu harus menjadi ibu dan isteri, juga sebagai pekerja.

"Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail contoh bagaimana wanita mampu menjadi ibu, isteri dan dalam masa yang sama memimpin bangsa dan negara," katanya menegaskan hubungan pembangunan dengan objektif kesaksamaan dan keterangkuman gender tidak selalunya berlaku sekali gus.

Katanya, sememangnya sudah ada Dasar Wanita Negara bagi memberikan kesaksamaan gender dalam proses pembangunan sosial, namun masih banyak yang perlu dilakukan untuk memecah penguasaan lelaki termasuk dalam reformasi sistem pilihan raya dan institusi.

"Penyertaan wanita dalam proses pembangunan masih terbatas hanya kepada kumpulan elit wanita intelektual dan aktivis, sedangkan semua peringkat dan lapisan wanita dalam masyarakat harus terbabit, termasuk suri rumah, ibu tunggal dan golongan rentan.

"Untuk itu, kami ingin menyarankan Madani yang beragenda untuk mendaya upaya masyarakat dan rakyat Malaysia yang peka gender, bukan saja kepada kesaksamaan tetapi juga dalam ekuiti.

"Kami mahu giat disusun siri program kepekaan gender secara bersama-sama supaya pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat akan menjadi pembangunan sosial Madani yang sihat dan berdaya saing tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 4:27 PM