FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Rasa hormat dan sikap ambil tahu generasi muda terhadap hak warga emas adalah penting dalam membina masyarakat yang penyayang ke arah sebuah negara harmoni.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Aiman Athirah Sabu berkata sifat dan sikap demikian perlu berkesinambungan supaya kekal merentas generasi.

Beliau berkata, demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga emas, kerjasama daripada pelbagai agensi juga amat diperlukan khususnya menerusi perkhidmatan yang diberikan.

"Kesejahteraan warga emas adalah tanggungjawab bersama dan bukan hanya tertumpu pada agensi-agensi tertentu saja.

"Walaupun kumpulan sasar warga emas amat sinonim dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun pembabitan pihak lain seperti kerajaan, swasta mahupun badan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan warga emas dapat menjalani kehidupan yang semakin mencabar adalah amat penting.

"Merujuk kepada dokumen Dasar Warga Emas Negara (DWEN) menggariskan komitmen kerajaan untuk mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri, dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong untuk meningkatkan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara.

"Dasar Warga Emas Negara yang diluluskan pada 5 Januari 2011 antara prinsipnya adalah untuk mengeratkan hubungan antara generasi, dengan matlamat meningkatkan pembabitan warga emas dalam masyarakat pelbagai umur," katanya.

Beliau berkata demikian pada Karnival Warga Emas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2023, di Tasik Titiwangsa, di sini, hari ini.

Ia bersempena Hari Warga Emas Antarabangsa dan Hari Warga Emas Kebangsaan yang disambut 1 Oktober setiap tahun.

Tema sambutan pada tahun ini adalah "Memartabatkan Hak Warga Emas: Merentas Generasi."

Menyifatkan tema sambutan Hari Warga Emas tahun ini selari dengan Dasar Warga Emas Negara, Aiman Athirah berkata ia jelas membuktikan komitmen kerajaan dalam memberi perhatian mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat dan dihormati.

"Hormat adalah satu nilai teras yang digariskan dalam Konsep Malaysia Madani, menunjukkan bahawa kerajaan memandang serius ke arah pembentukan sebuah masyarakat yang adil, saling hormat-menghormati, berdedikasi, punyai nilai kesaksamaan dan berintegrasi.

"Berdasarkan semangat ini, kerjasama antara pelbagai pihak diselaraskan JKM menerusi Jawantankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri bagi merealisasikan Dasar Warga Emas Negara dengan mengambil langkah proaktif dalam menyokong usaha meningkatkan kesejahteraan hidup warga emas seiring dengan pembangunan negara.

"Pemerkasaan warga emas menjadi keutamaan demi kelestarian mereka pada masa hadapan. Apa yang pasti, warga emas berhak menikmati hak-hak asasi mereka dengan sama rata tanpa mengira latar belakang melalui sokongan dari segi penjagaan kesihatan, kebajikan dan sosio ekonomi untuk menghadapi hari tua.

"Menggerakkan aktiviti warga emas dalam sesebuah komuniti, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang ditubuhkan JKM di setiap parlimen adalah satu perkhidmatan bercorak pendampingan sosial dan pembangunan kepada warga emas," katanya.

Beliau berkata, ia juga dapat menjadi sebuah hub aktiviti komuniti yang mesra kepada semua tahap generasi selain menjadi tempat bagi warga emas menjalankan program dan aktiviti harian yang menekankan amalan penuaan yang sihat dan positif.

Untuk rekod, katanya, Malaysia akan mencapai status Negara Tua atau Aged Nation menjelang tahun 2030 apabila dijangkakan 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk adalah berusia 60 tahun dan ke atas.

"Unjuran adalah berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia. Ini bermakna populasi warga emas di Malaysia pada ketika itu akan menjangkau 5.8 juta orang daripada keseluruhan 38.1 juta jumlah penduduk di negara kita.

"Secara amnya, jangka hayat penduduk Malaysia semakin panjang berbanding dengan dekad yang lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 2:14 PM