Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur
Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tumpuan hari ini terarah ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur yang menghimpunkan perwakilan dan pemimpin daripada 19 parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan bagi membina kerjasama lebih utuh pada masa depan.

Seawal 10 pagi, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan buat julung kali membuka tirainya menerusi Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri Kerajaan Perpaduan, yang diadakan secara serentak.

Konvensyen Wanita akan memfokuskan kepada agenda ekonomi, pembinaan negara bangsa dan peranan wanita dalam konteks Malaysia Madani.

Sementara itu, satu jentera baharu iaitu 'Geng Perpaduan' yang membabitkan semua sayap pemuda parti gabungan kerajaan ini akan dilancarkan sempena konvensyen itu bagi memperkukuh kerjasama dan mengatur gerak kerja dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Jentera itu platform baharu buat pemuda dalam parti gabungan Kerajaan Perpaduan yang dianggotai sayap Pemuda Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan.

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan meneruskan agendanya pada 2 petang dengan 'Bicara Rakyat' oleh pemimpin-pemimpin parti Kerajaan Perpaduan bagi membicarakan mengenai komitmen dalam menyelesaikan isu rakyat termasuk ekonomi, masa depan pembinaan negara bangsa dan konsep Madani dalam pelaksanaan agenda rakyat.

Segmen itu terbahagi kepada tiga sesi iaitu Memperkasa Ekonomi Rakyat, Membina Negara Bangsa dan Malaysia Madani.

Kemuncak konvensyen bertemakan 'Madani Mewajahi Masa Depan Malaysia' itu bermula pada 3.30 petang dengan amanat Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum berakhir dengan deklarasi konvensyen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 8:34 AM