Paya Linda Yahya


Gua Musang: Polis menambah 26 lagi anggota bagi mencari dan menyelamat lelaki Orang Asli suku kaum Batek yang hilang selepas dikhuatiri diserang harimau di Sungai Hulu Aring 5, di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Gua Musang Deputi Superintendan Azmi Mokhtar berkata, operasi yang memasuki hari kedua membabitkan pencarian melalui jalan darat dan air.

Katanya, operasi hari ini membabitkan 10 anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melalui jalan air dan dan 16 lagi jalan darat.

"Kita mendapat tambahan 10 anggota Perhilitan hari ini yang akan masuk melalui jalan air mudik ke Hulu Sungai Aring 5 dengan menggunakan kanu.

"Sekumpulan lagi, iaitu 16 anggota menggunakan jalan darat untuk ke lokasi kejadian," katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Kampung Aring 5 di sini, hari ini.

SERAMAI 10 anggota Perhilitan menggunakan kanu dalam operasi mencari dan menyelamat di PKTK Aring 5. FOTO Paya Linda Yahya
SERAMAI 10 anggota Perhilitan menggunakan kanu dalam operasi mencari dan menyelamat di PKTK Aring 5. FOTO Paya Linda Yahya

Mengulas lanjut beliau berkata, semalam kumpulan pertama yang terdiri daripada 14 anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Perhilitan sudah memulakan operasi yang hanya sampai di pertengahan jalan dan kembali menyambung operasi pagi ini.

Menurutnya, keseluruhan anggota dalam operasi hari ini adalah seramai 40 orang dan operasi turut membabitkan seramai dua seksyen Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 bermula esok.

Semalam, media melaporkan, dalam kejadian 11.30 pagi, Halim Asin 27, yang memancing bersama anak saudara, Alang Kuang, 8, dikatakan diserang haiwan liar berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 4:29 PM