Paya Linda Yahya

Gua Musang: Mayat lelaki Orang Asli yang hilang sejak Selasa lalu ditemukan dalam keadaan terlungkup di Kuala Sungai Tunggul kira-kira dua kilometer (KM) dari tempat kejadian, semalam.

Mangsa, Halim Asin, 27, ditemukan pada 5.10 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang menggunakan jalan air.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penyelamat yang menggunakan jalan air.

"Kumpulan terbabit terdiri daripada lapan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan dua dari Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Mayat ditemui dalam keadaan terlungkup dan tersangkut pada tunggul kayu dengan jarak dua kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

"Mangsa dipercayai hanyut dari tempat kejadian sehingga sampai di lokasi penemuan oleh pasukan SAR," katanya ketika ditemui di di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Kampung Aring 5 di sini, hari ini.

MAYAT Halim dibawa naik di tebing Sungai Aring 5 untuk dibawa ke Hospital Gua Musang. FOTO  Paya Linda Yahya.
MAYAT Halim dibawa naik di tebing Sungai Aring 5 untuk dibawa ke Hospital Gua Musang. FOTO Paya Linda Yahya.

Beliau berkata, mayat ditemui dalam keadaan separuh bogel dan hanya memakai baju.

"Mangsa dijumpai ketika sudah gelap dan agak berbahaya kepada pasukan penyelamat.

"Jadi pasukan penyelamat mengambil keputusan untuk mengeluarkan mayat pagi ini dan sampai ke tebing Sungai Aring 5 pada 12.30 tengah hari tadi," katanya mayat dibawa ke unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Sementara itu, abang ipar mangsa, Kuang Cemetong, 31, berkata akhirnya dia berasa lega apabila mayat Halim ditemui pada hari kedua operasi SAR.

"Saya antara orang pertama yang melihat mayat mangsa. Perasaan ketika itu sangat sedih, namun lega apabila Halim akhirnya ditemukan.

"Keluarga belum dimaklumkan akan penemuan mayat Halim dan balik nanti saya akan beritahu kepada ayah, kakak serta anaknya" katanya yang menyertai operasi SAR sejak Rabu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 3:24 PM