MAYAT mangsa ditemui tersangkut pada tunggul kayu pada jarak kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.
MAYAT mangsa ditemui tersangkut pada tunggul kayu pada jarak kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Putrajaya: Ajar anak kemahiran memburu dan 'makan manusia' selepas mahu bercerai susu.

Itu antara rumusan terbaru berhubung kejadian seorang lelaki Orang Asli yang maut diserang Harimau Malaya ketika sedang memancing ikan Selasa lalu.

Mayat mangsa, Halim Asim, 27, bagaimanapun ditemui pasukan penyelamat dalam keadaan terapung di Kuala Sungai Tunggul, Gua Musang, Kelantan, Jumaat lalu.

Sumber berkata, sepasukan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang memiliki kepakaran khusus dihantar bagi melakukan siasatan dan menjejaki mangsa di dalam hutan Sungai Aring 5, Gua Musang, Kelantan sejurus kejadian serangan dilaporkan.

"Kakitangan Perhilitan berjaya menemui kesan tapak kaki harimau dewasa selain kesan tapak kaki harimau lebih kecil.

"Ada kemungkinan tapak kaki itu adalah milik harimau dewasa yang berkeliaran di dalam hutan bersama anaknya," katanya.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman sebelum ini, ada kemungkinan harimau betina dewasa itu mahu mengajar anaknya berdikari dan memburu sasaran.

"Dalam peringkat usia tertentu terutama apabila anak harimau akan bercerai susu, ibu harimau akan mengajar anaknya untuk memburu. Biasanya anak harimau ketika ini sudah berusia hampir dua tahun dan mewarisi sifat agresif ibunya.

"Ada kemungkinan mangsa terbabit diserang anak harimau berkenaan sebelum mayat mangsa diseret jauh dari lokasi dia diserang," katanya.

Menurutnya, berdasarkan keadaan mangsa ketika peringkat awal ditemui, terdapat kesan kecederaan parah pada tengkuk dan perut.

"Bagaimanapun tidak dapat dipastikan mengapa mangsa ditemui di kawasan sungai berikutan kebiasaannya harimau akan membawa 'makanannya' jauh ke dalam hutan," katanya.

Dalam kejadian sebelum ini, mangsa yang juga Orang Asli suku kaum Bateq yang hilang ketika memancing bersama anak saudaranya, Alang Kuang, lapan tahun.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, mayat Halim dijumpai pasukan penyelamat pada jam 5.10 petang Jumaat lalu, dalam keadaan tersangkut pada tunggul kayu pada jarak kira-kira dua kilometer (km) dari tempat kejadian.

Mayat ditemukan dalam keadaan separuh bogel dan hanya memakai baju berwarna gelap, dipercayai hanyut dari tempat kejadian sehingga ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Mangsa digigit pada leher kanan dan tengkorak

Gigitan pada leher kanan dan tengkorak antara penemuan bedah siasat terhadap lelaki Orang Asli suku kaum Batek, Halim Asin, 27, yang maut akibat diserang oleh harimau di Kampung Aring 5, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, hasil siasatan mengesahkan mangsa maut akibat diserang oleh harimau.

Menurutnya, pihaknya yang menjalankan pemeriksaan bersama anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mendapati ada kesan tapak harimau di kawasan kejadian.

"Hasil bedah siasat mendapati terdapat gigitan pada leher kanan mangsa serta tengkorak tembus akibat gigitan harimau," katanya di sini, semalam.

Terdahulu, jenazah Halim selamat dikebumikan mengikut adat suku kaum Batek di Tanah Perkuburan Kampung Aring 5, di sini, kira-kira jam 5.15 petang kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Aring 5, Mohd Fazli Mamok berkata, jenazah terpaksa dibawa menggunakan pacuan empat roda kerana keadaan jalan rosak dan perlu melalui kawasan ladang.

"Buat pertama kali dalam sejarah, penduduk Orang Asli Batek di kampung ini maut kerana serangan binatang buas dan proses pengebumian dilakukan sedikit berbeza mengikut adat serta dalam keadaan ringkas.

"Mengikut adat, mayat mangsa yang jatuh pokok atau diserang binatang buas tidak dibawa pulang dan akan ditinggalkan di tempat ditemukan selepas dukun melakukan beberapa ritual supaya tidak diganggu binatang buas," katanya.

Katanya, beberapa penduduk terpaksa melapik mayat menggunakan tikar dan memakai sarung tangan semasa melakukan proses pengebumian.

"Malah, mengikut adat kami, mayat juga tidak boleh disentuh kerana dibimbangi terkena badi di mana orang yang memegangnya akan mati dalam keadaan yang sama seperti mangsa.

"Justeru, kami melapik mayat dengan tikar tanpa menyentuhnya selepas berbincang dengan orang-orang tua di kampung ini. Kita berdoa semoga jauh daripada ajal dan 'malapetaka' yang tidak baik," katanya.

Terdahulu, media melaporkan mayat Halim ditemui tersangkut pada tunggul kayu dalam keadaan separuh bogel di Kuala Sungai Tunggul di Kampung Aring 5, kira-kira jam 5.10 petang Khamis lalu.

Halim dijumpai pada hari kedua operasi pencarian oleh pasukan penyelamat dalam keadaan telungkup di dalam air iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 7:01 AM