Oleh Nur Izzati Mohamad


Permatang Pauh: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menambah dana dalam satu skim besar kepada kerajaan Pulau Pinang bagi membolehkan projek Transit Aliran Ringan (LRT) segera dilaksanakan di negeri itu.

Anwar berkata, Pulau Pinang berdepan kesesakan lalu lintas yang keterlaluan sejak sekian lama dan amat memerlukan LRT sebagai cara menyelesaikan masalah berkenaan.

Katanya, satu pertemuan dengan kerajaan negeri akan diadakan dalam tempoh satu ke dua minggu lagi bagi membincangkan berhubung skim untuk pelaksanaan projek terbabit.

"Semalam saya ada perjumpaan dengan KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) dan pegawai kewangan untuk mencari kaedah yang baik (dana untuk kerajaan Pulau Pinang melaksanakan LRT).

"Oleh itu, dalam tempoh satu ke dua minggu kita akan adakan pertemuan dengan kerajaan Pulau Pinang untuk mengadakan skim yang benar-benar cukup kerana peruntukan (projek LRT) agak besar termasuk juga pinjaman yang memerlukan campur tangan Kerajaan Persekutuan dapat disegerakan.

"Kesesakan di Pulau Pinang amat keterlaluan. Kita ada LRT, MRT (Perkhidmatan Aliran Transit Massa) dan pelbagai monorel di Lembah Klang. Jadi, kenapa tak boleh dialihkan ke satu kota kedua terbesar di negara kita iaitu di Pulau Pinang," katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang di Permatang Pauh di sini, hari ini.

Katanya, pengumuman yang dibuatnya juga adalah dalam usaha meredakan pelbagai isu kontroversi yang melanda di bawah pentadbirannya termasuk berkaitan Projek Tambak Laut Selatan Pulau Pinang (PSI).

Menurut Anwar, beliau percaya bahawa kepimpinan negeri di bawah Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengambil pelbagai langkah untuk memberi jaminan kepada semua pihak bagi isu yang sedang berbangkit.

"Saya dengar keluhan ini (projek PSI) dan ia tidak semuanya benar kerana Ketua Menteri dan pimpinan negeri telah mengambil semua langkah untuk memberi jaminan kepada nelayan, termasuk masalah hakisan, pembangunan semula perkampungan Melayu di beberapa tempat dan kawasan majoriti India serta juga Gertak Sanggul, majoriti Cina.

"Tetapi alasan dan rasional terpenting ialah bahawa Kerajaan Persekutuan dalam beberapa tahun kebelakangan ini tidak memberikan dana yang cukup terutamanya untuk pembangunan infrastruktur yang mendesak di Pulau Pinang," katanya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya tidak mengambil sikap negatif terhadap mana-mana negeri.

"Seperti yang saya cakap dalam Parlimen, peruntukan di Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan juga kita tambah. Seperti di Kelantan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dahulunya satu kita tambah menjadi dua.

"Soal parti mana yang menguasai negeri tidak diambil kira, yang diambil kira ialah permasalahan, kebajikan dan kehidupan rakyat.

"Saya harap dengan penjelasan ini ia boleh meredakan pelbagai isu yang sedang melanda," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 3:24 PM