LAKARAN Projek Tambakan Laut Selatan Pulau (A) Pulau Pinang (PSI) yang mendapat tentangan nelayan kerana mendakwa menjejaskan pendapatan mereka. FOTO Ihsan PSI.
LAKARAN Projek Tambakan Laut Selatan Pulau (A) Pulau Pinang (PSI) yang mendapat tentangan nelayan kerana mendakwa menjejaskan pendapatan mereka. FOTO Ihsan PSI.
Audrey Dermawan


Georgetown: Nelayan terutamanya yang menetap di selatan Pulau Pinang mengulangi pendirian Sahabat Alam Malaysia (SAM) supaya kerajaan negeri membatalkan keseluruhan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI).

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara), Ibrahim Che Ros berkata, kumpulan nelayan akan terus menentang projek penambakan itu kerana ia akan menjejaskan kehidupan dan mata pencarian mereka.

Katanya, kawasan pembiakan udang serta ekosistem marin juga akan musnah walaupun kerajaan negeri memutuskan untuk membatalkan pembinaan dua pulau dalam projek itu.

"Rezeki kira-kira 1,600 ahli Pen Mutiara akan terjejas memandangkan lokasi Pulau A, kini dikenali sebagai Pulau Silikon, terletak di kawasan pembiakan udang.

"Penambakan di Pulau A itu akan membabitkan kawasan besar sekitar satu kilometer dari Pulau Rimau sehinggalah kawasan yang kita panggil 'kawasan kapal karam'.

"Disebabkan itu, ahli kami tidak akan sesekali bersetuju dengan pembinaan projek berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, pihaknya akan membatalkan dua daripada tiga projek PSI berkenaan sekali gus mengurangkan lebih 49 peratus daripada keseluruhan projek pulau buatan manusia itu.

Tambahnya, keluasan Pulau A atau Pulau Silikon turut dikecilkan iaitu daripada 1,821 hektar kepada 930.8 hektar.

Dalam lawatan ke Pulau Pinang baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan pusat akan memberikan peruntukan tambahan bagi membantu kerajaan negeri mempercepatkan cadangan projek transit aliran ringan (LRT) George Town - Bayan Lepas, selain meminta kerajaan negeri mengurangkan projek PSI.

Chow berkata, anggota exco kerajaan negeri sudah membincangkan perkara itu semalam dan menerima nasihat yang diberikan Anwar.

"Oleh itu, kami memutuskan untuk hanya meneruskan Pulau Silikon sekarang yang dilaksanakan dalam dua fasa dan mengambil masa antara 10 dan 15 tahun bagi kerja penambakan, manakala Pulau B dan C tidak akan diteruskan," katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar, hari ini.

Susulan pengumumannya, Presiden SAM, Meenakshi Raman meminta kerajaan negeri membatalkan keseluruhan projek itu dan menegaskan bahawa mengurangkan PSI bukanlah satu pilihan.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, walaupun skala bagi penambakan itu sudah dikurangkan, namun ia tidak mengurangkan kerosakan pada alam sekitar.

"Nelayan, aktivis alam sekitar dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) akan meneruskan perhimpunan yang dirancang untuk menentang penambakan Ahad ini.

"Adalah menjadi harapan kami untuk kerajaan negeri akan membatalkan sepenuhnya projek itu dan tidak semata-mata mengurangkannya," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 5:43 PM