CHOW (dua dari kanan) dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng (kanan) serta kepimpinan DAP Pulau Pinang menggaul Yee Sang pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina DAP Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
CHOW (dua dari kanan) dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng (kanan) serta kepimpinan DAP Pulau Pinang menggaul Yee Sang pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina DAP Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Laluan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang yang sebelum itu dilaporkan akan berakhir di Komtar akan dihubungkan sehingga Penang Sentral yang menjadi hub pengangkutan di bahagian Seberang Perai.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow, berkata jajaran baharu itu didedahkan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dalam satu perbincangan yang diadakan baru-baru ini.

"Cadangan asal jajaran adalah berhenti pada stesen Komtar namun MRT Corp mahu ia dipanjangkan hingga ke Penang Sentral di bahagian Seberang Perai.

"Ia (projek ini) sekali gus akan merentasi laut dan kita akan perhalusi serta mengambil kira isu teknikal bagi memastikan pembinaannya berjalan lancar," katanya ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Chow berkata, MRT Corp sudah membentangkan usaha untuk merealisasikan projek LRT yang sudah lama dirancang.

"Mereka ada maklumkan tindakan lanjut memerlukan pembentangan kertas kabinet untuk mendapat 'green light' (lampu hijau) daripada Jemaah Menteri seterusnya membolehkan langkah lanjut diambil ," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MRT Corp sebelum itu sudah melantik perunding bagi membuat kajian berhubung jajaran projek LRT yang disempurnakan oleh SRS Consortium Sdn Bhd.

"Rakan pelaksana projek (PDP) kerajaan negeri ketika itu memberi kata putus dan reaksi terhadap jajaran yang kita sudah cadangkan.

"Semua perincian ini termasuk lokasi depoh dan sebagainya akan dimasukkan dalam kertas kerja bagi membolehkan kita memperoleh hala tuju seterusnya," katanya.

Pada Mei lalu, media melaporkan pelaksanaan fasa pertama projek LRT di Pulau Pinang merangkumi 27 stesen dengan jajaran laluan sepanjang 29 kilometer (km).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 9:05 PM