GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa digesa untuk melihat secara serius mengenai penyewa projek perumahan rakyat (PPR) atau perumahan awam (PA) yang menyewakan kembali unit kepada warga asing bagi mengaut keuntungan mudah.

Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, Dr Zaliha perlu berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sekiranya boleh digubal akta baharu supaya unit rumah PPR atau PA yang sedia ada tidak boleh disewa kepada warga asing.

"Satu tindakan radikal perlu dibuat kerana ramai lagi warga Malaysia terutamanya di Wilayah Persekutuan berada dalam golongan B40 dan senarai menunggu untuk mendapatkan rumah kediaman mampu milik terbatas.

"Adalah tidak adil rumah PPR yang dibina oleh kerajaan sendiri 'dilacurkan' oleh pengkhianat negara dan bangsa.

"Tak cukup dengan memajak lesen perniagaan, menggaji dan Pasar Borong Selayang dijarah warga asing, kini rumah PPR pula dijadikan 'mangsa lacuran' dan diberi kemudahan kepada warga asing untuk menikmatinya. Apa nak jadi ini?," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan segelintir penyewa PPR atau PA memperoleh untung atas angin apabila dikesan menyewakan kembali unit kepada warga asing bagi mengaut keuntungan mudah.

Berdasarkan risikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), penyewa warga tempatan membayar sewa RM124 setiap bulan, tetapi menetapkan kadar sewa bulanan antara RM600 hingga RM1,200 kepada warga asing bergantung lokasi.

Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL Ismadi Sakirin berkata, kadar sewa itu tidak menjadi masalah kepada warga asing kerana mereka tinggal beramai-ramai di rumah berkenaan atau berkongsi dengan rakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 10:11 AM