KHALID  pada sidang media  Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Hala Tuju KWP 2020.
KHALID pada sidang media Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Hala Tuju KWP 2020.
Oleh Yusmizal Dolah Aling


KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan menyelesaikan isu persempadanan antara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang berlanjutan sejak 1974 bagi membolehkan pelbagai isu berkaitan dapat ditangani.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, ketika ini Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur (PTGKL) sudah mengadakan perbincangan bersama PTG Selangor untuk mencari jalan menyelesaikan secara rasmi mengenai isu itu, walaupun Kuala Lumpur diisytiharkan Wilayah Persekutuan sejak 46 tahun lalu.

Beliau berkata, sejak itu ia belum diselesaikan secara tuntas dan masih ada 18 masalah persempadanan belum selesai dan menjadi antara fokus utama kementeriannya pada tahun ini.

“Cadangan mengenai perkara ini sudah dibuat oleh Selangor, cara untuk selesaikan dan akhirnya kita dapat memuktamadkan secara rasmi sempadan di antara Selangor dan Kuala Lumpur.

“Jadi PTGWPKL akan beri maklum balas dan hari itu dia sudah beri pandangannya, insya-Allah kita harap pada tahun ini persoalan persempadanan itu dapat kita selesaikan dan perjanjian persefahaman muktamad dapat ditandatangani,” katanya pada sidang media Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Hala Tuju KWP 2020 di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata, antara dapat diselesaikan menerusi pelaksanaan itu adalah masalah pembayaran cukai pintu sama ada kepada Wilayah Persekutuan atau Selangor seperti berlaku ketika ini.

Menurutnya, selain itu, pihaknya akan menumpukan kepada kemiskinan bandar, konsep Wilayah Persekutuan sebagai Wilayah Pintar, konsep Wilayah Persekutuan sebagai Negara Taman dan pembangunan Kampung Baru yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

Katanya, KWP ingin menumpukan untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai wilayah pintar dan mewujudkan rangkaian 5G, sekali gus menjadikan ia berada di garisan pertama dalam pelaksanaan bandar pintar di negara ini.

“Putrajaya kita nak jadikan sebagai bandar ‘vibrant’, ada 256 program tempatan dan antarabangsa sepanjang tahun ini dan kita nak jadikan ia sebagai pusat penganjuran program bertaraf dunia.

“Tahun ini, kita nak laksanakan projek monorel yang akan dibantu oleh KWP dan diketuai oleh Kementerian Pengangkutan.

“Di bawah Jabatan Landskap Negara, KWP akan laksanakan konsep ini menerusi Majlis Negara Taman yang dipengerusikan saya sendiri selaku Menteri Wilayah Persekutuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 6:10 AM