BANGKAI seekor lembu ditemukan dipercayai selepas diserang haiwan buas dalam kawasan kebun kelapa sawit di Felda Ulu Tebrau. FOTO ihsan penduduk
BANGKAI seekor lembu ditemukan dipercayai selepas diserang haiwan buas dalam kawasan kebun kelapa sawit di Felda Ulu Tebrau. FOTO ihsan penduduk
Mary Victoria Dass


Ulu Tiram: Dakwaan kemunculan haiwan liar selepas menemukan tapak kaki haiwan berkenaan dan bangkai binatang ternakan di dalam kebun kelapa sawit menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk Felda Ulu Tebrau di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa Amira Aisya Abd Aziz berkata, pihaknya sudah menghubungi pengurus Felda itu dan menasihati penduduk supaya berjaga-jaga selain mengambil beberapa inisiatif menjamin keselamatan bagi mengelak ancaman haiwan buas.

"Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) juga sedang memantau kawasan ladang dan akan datang semula dalam masa terdekat.

"Pada masa ini, pengurus Felda berkenaan sudah memaklumkan supaya penduduk tidak digalakkan masuk ke kawasan ladang buat sementara waktu.

"Sekiranya perlu juga masuk, pastikan berpasangan atau berkumpulan dan elakkan bertentangan mata dengan haiwan buas sekiranya terjumpa kerana ia anggap sebagai ancaman," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tular beberapa foto mengenai penemuan haiwan buas itu dalam media sosial sejak Jumaat lalu.

Beliau berkata, penduduk juga dilarang mendekati haiwan buas tersebut dan harus kekalkan jarak yang selamat.

Amira berkata, mereka turut dilarang daripada membelakangi atau lari apabila bertemu dengan haiwan berkenaan dipercayai harimau.

"Jangan ganggu haiwan ini sewaktu ia sedang makan atau berehat.

"Keselamatan kita paling utama, agensi berwajib sedang jalankan tanggungjawab mereka sebaik mungkin.

"Tanggungjawab kita sekarang adalah untuk sebarkan pesanan di atas dan jaga keselamatan diri," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Arifin Jaafar, 45, berkata, penduduk berharap Perhilitan mengambil tindakan sesuai bagi mengatasi aduan berkenaan.

Menurutnya, mungkin jabatan itu perlu memasang perangkap bagi haiwan itu.

"Bukan saja keselamatan malah sumber pendapatan penduduk juga terjejas kerana tidak dapat menjalankan aktiviti berkebun seperti biasa," katanya ketika ditemui.

Pengarah Perhilitan, Aminuddin Jamin pula berkata, pihaknya menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya juga akan memasang perangkap kamera bagi mengenal pasti haiwan berkenaan.

"Kami kurang pasti sama ada ia harimau kumbang atau harimau belang.

"Kami menjangkakan hanya seekor harimau dan ia datang dari kawasan Kota Tinggi dan melintas di lokasi itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 1:25 PM