Siti Rohana Idris


Tumpat: Kehadiran keluarga Diraja Kelantan mencemar duli menyampaikan sumbangan hari raya mengujakan rakyat Tumpat.

Seramai 250 asnaf sekitar daerah ini terpilih menerima sumbangan dalam bentuk kewangan yang disampaikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Padang Kemahkotaan, di sini, hari ini.

Baginda tiba jam 6.25 petang tadi bersama pasangan, Sultanah Kelantan, Nur Diana Petra Abdullah.

Terdahulu ketibaan keluarga diraja itu dimulakan dengan Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra diikuti Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid; Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra dan pasangan, Che Puan Mahkota Kelantan, Sofie Louise Johansson.

Kira-kira 3,000 rakyat Tumpat dan sekitar hadir dalam Majlis Hari Raya With Me dan dijamu dengan aneka juadah serta dihiburkan dengan persembahan kebudayaan negeri ini.

Bagi seorang penerima, Kamaruzzaman Daud, 51, dia berasa teruja menerima sumbangan dari pihak istana dan tiba beberapa jam lebih awal sebagai persiapan.

"Ini kali pertama saya menerima sumbangan dari Tuanku dan sangat gembira kerana dapat melihat baginda secara berdepan walau ada rasa berdebar.

"Rasa seronok kerana baginda sekeluarga sudi mencemar duli berjumpa rakyat jelata dan menyampaikan sumbangan hari raya," katanya.

Bagi Mariati Abdul Aziz, 56, pula, dia sanggup datang ke Padang Kemahkotaan dengan mendukung cucu dan memimpin anak serta anak saudaranya untuk melihat keluarga diraja Kelantan itu.

Dia yang menetap di Kampung Bendang Kerian, di sini berkata, kali terakhir menatap wajah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V adalah kira-kira 15 tahun lalu yang ketika itu bergelar Tengku Mahkota.

"Selepas 15 tahun barulah dapat melihat baginda depan mata dan lebih teruja apabila beriringan dengan pasangannya yang cantik," katanya yang turut menemani suaminya untuk menerima sumbangan hari raya.

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Majlis Pengurniaan sumbangan Hari Raya kepada 150 orang asnaf di Taman Kemahkotaan, Tumpat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Majlis Pengurniaan sumbangan Hari Raya kepada 150 orang asnaf di Taman Kemahkotaan, Tumpat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 8:35 PM