DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Presiden UMNO bersama calon dan pengundi BN DUN Parit Raja hari ini. FOTO Essa Abu Yamin
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Presiden UMNO bersama calon dan pengundi BN DUN Parit Raja hari ini. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Barisan Nasional (BN) mensasarkan kemenangan di 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keadaan kerapuhan kerajaan seperti yang berlaku sebelum ini menyebabkan Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad sukar untuk membuat keputusan bagi membangunkan Johor.

"PRN kali ini tidak dilaksanakan untuk menyusahkan rakyat, tetapi semata-mata mahu rakyat memberikan mandat semula kepada UMNO dan BN.

"Mandat baharu penting kerana kita mahu kerajaan Johor yang stabil, tetapi untuk mewujudkan kerajaan stabil perlu menang dulu.

"Tapi kestabilan sahaja tidak cukup dengan sekadar jumlah minima, ia mesti tidak kurang 38 DUN harus dimenangi bagi memperoleh suara dua per tiga," katanya dalam ucapan dalam program Perjumpaan Presiden UMNO bersama calon dan pengundi BN DUN Semarang dekat sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pelbagai perubahan dan transformasi yang dilaksanakan Hasni biarpun BN mentadbir dalam tempoh yang singkat dengan sokongan DUN serta situasi kewangan yang terhad.

"Situasi itu berbeza ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini sama ada kerajaan negeri atau Pusat apabila rakyat lebih merasakan mereka dizalimi.

"Rakyat mengeluh ketika PH memerintah Johor, mereka yang memerintah Putarajaya (kerajaan Persekutuan) ketika itu juga bukan mengutamakan kemajuan, tetapi balas dendam pada tokoh-tokoh tertentu dan melakukan pemotongan belanjawan kerana Menteri Kewangan ketika itu (Lim Guan Eng) balas dendam kepada individu di kawasan Parlimen dan DUN yang sudah diluluskan belanjawan mereka sebelum ini.

"Begitu juga keadaan di Johor, rakyat rasa dizalimi apabila parti itu memerintah, tetapi kena ingat (doa) orang dizalimi tidak ada hijab, maka ketika itu bukan sahaja di Putrajaya, tetapi di Johor juga kerajaan bertukar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 3:16 PM